Tumpuan :
Jenayah

[EKSKLUSIF] ‘Nafkah’ untuk keluarga hasil jual tubuh si isteri


Oleh: Fahmi Tajuddin & Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Nafkah keluarga datang daripada hasil menjual tubuh si isteri melalui akaun ‘Dark Side’ di media sosial.

Itu yang dikongsikan wanita berusia 40-an yang ingin dikenali sebagai Rubi ketika ditahan dalam serbuan Ops E-Noda oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat, dan Perjudian (D7) Bukit Aman baru-baru ini.

Wanita yang berasal dari Hulu Selangor itu mendedahkan, suaminya memaksa dia untuk mencari ‘pelanggan’ di ‘Dark Side’ bagi menanggung keperluan dan perbelanjaan keluarga ekoran tekanan kewangan yang menimpa.

Malah, Ibu kepada lima orang anak itu mengakui, akibat didesak dengan permintaan suaminya, dia terpaksa melakukan perkara tidak senonoh untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung keluarga.

Rubi (berbaju putih) ketika serbuan Ops E-Noda PDRM di Hulu Selangor.

“Suami saya tak nak kerja, dia cakap dah penat. Dia minta saya buat. Try la buat, boleh dapat duit mudah, dia cakap. Saya ni jenis orang yang bila dicabar, saya buat. Saya tak ada pilihan lain.

“Saya tak boleh buat apa-apa masa tu. Suami dah tak kerja. Kami tak ada duit. Kawan-kawan saya yang dulu peniaga, mula berpindah ke media sosial, mencari jalan untuk buat duit. Saya sendiri tak tahu macam mana saya boleh terjerumus ke dalam dunia Dark Side ni,” katanya, dengan nada kesal.

Berkongsi lanjut, dia memaklumkan pada awalnya hanya menjual kandungan gambar dan video lucah di saluran aplikasi Telegram kepada pengikutnya dan mampu mendapat ratusan ringgit untuk satu kandungan.

“Saya tak buat benda ni setiap hari. Sebulan tu, paling-paling saya dapat 5-6 customer. Kadang-kadang dapat RM50, kadang-kadang RM300. Itu pun tak sampai seribu pun sebulan,” katanya.

Rubi turut membuka slot mencari pelanggan untuk bersama melakukan aktiviti seksual dan merakam, serta menjual kandungan itu kepada pelanggan lain di aplikasi Telegram. Dia turut menjual video seks dirinya dan suami kepada pelanggan yang berminat.

“Saya ada buka slot (temu janji hubungan seks), tapi sebab saya ada jaga makcik saya, saya jaga anak-anak saya, saya tak boleh nak buka slot selalu, so dalam sebulan tu saya buat sekali atau dua hingga tiba bulan sekali baru saya buat. Customer ni memang kita buka direct tapi dapat sorang je. Kadang-kadang takda langsung,” jelasnya.

Ditanya berkenaan perasaannya apabilal diberkas polis dalam Ops E-Noda, Rubi berkata dia berasa lega apabila ditahan polis dalam serbuan itu. Katanya, ia seolah-olah membebaskan dirinya daripada cengkaman si suami ‘memusnahkan’ kehidupannya.

“Saya tahu, kalau polis datang, saya akan kena tangkap. Saya dah redha. Saya dah bersedia untuk apa saja yang datang. Saya cuma nak keluar dari semua ni sebab ada masa saya rasa nak bunuh diri, terjun bangunan. Tapi bila saya pandang anak-anak kecil saya, tak sampai hati,” katanya.

Katanya lagi, dia kesal kerana terjebak dengan kelakuan itu namun memperakui nasib tidak menyebelahi dirinya sehingga terdesak mencari wang untuk menyara keluarga susulan suaminya yang tidak ingin berkerja.

Rubi antara lebih 20 individu aktif dalam pelacuran moden ‘Dark Side’ di media sosial yang ditahan menerusi Ops terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini