Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PETALING JAYA: Kali pertama menjalani ibadah puasa bagi kebanyakan saudara baharu atau mualaf pastinya mencabar. Apatah lagi apabila terpaksa berpuasa sendirian akibat dibuang keluarga kerana ‘berhijrah’. Cabaran dilalui dalam menunaikan Rukun Islam ketiga oleh seorang saudara baharu, dikongsi bersama Buletin TV3 baru-baru ini.
Nieresh atau nama Islamnya, Muhd Aiman Subramaniam, 21 tahun, mengakui, mula tertarik dengan agama Islam sewaktu di bangku sekolah menengah lagi. Perasaan itu bertambah kuat memandangkan hidupnya dikelilingi jiran dan rakan beragama Islam yang sedikit sebanyak mendorongnya berhijrah.
“Cara dia orang solat semua saya pun suka lah itu yang saya minat nak masuk islam lepas tu selalu saya tengok itu ceramah Ustaz Farid Ravi so saya tengok ceramah-ceramah dia semua saya suka. Lepas tu saya pun dapatlah apa yang saya mintak tu sama Allah saya dapat lah so saya pun minat nak masuk Islam”.
Aiman bersyukur kerana impian memeluk islam tercapai, selepas melafazkan dua kalimah syahadah secara rasmi sekitar Ogos tahun lalu. Mengakui hidupnya kini lebih tenang dan bahagia, Aiman berkata segalanya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata sejurus menjadi saudara baharu. Lebih mengharukan apabila ramai kenalan sudi membantu dari segi kewangan dan keperluan, selain membimbingnya menjadi muslim yang baik.
Bercerita pengalaman pertama kali berpuasa, Aiman yang bekerja sebagai ‘promoter’ pemasaran pada sebelah siang dan pengawal keselamatan sebelah malam tidak menafikan ia mencabar fizikal serta mental untuk melengkapkan tempoh sebulan ibadah itu.
“Mula-mula first day tu susah lah kak susah tu bukan pasal apa tak minum ke tak makan penat lah sebab saya kerja kan bila saya rasa tengok orang-orang ada yang ni kan dia orang minum air depan saya, saya pun terasa nak minum tapi saya stabil lah dalam keyakinan saya, saya nak juga ambik puasa”.
Di sebalik wajah cerianya, tak siapa menduga, Aiman memendam kerinduan terhadap keluarga yang mengusirnya dari rumah kerana tidak boleh menerima penghijrahannya.Jauh di lubuk hati, jejaka 25 tahun ini menyimpan hasrat menjalin semula silaturahim bersama kakak dan abang kandungnya, setelah menjadi yatim piatu sejak berusia 15 tahun.
“Saya hari tu pun dah tanya dengan abang saya sebab saya tak mampu nak bayar sewakan so saya minta abang saya nak balik rumah so dia tak bagi lah ,kau duduk sana”.
Mujur ketika ini Aiman menyewa bilik bersama beberapa kenalan yang sedikit sebanyak mengubat kesedihanya. Harapan Aiman moga Ramadan ini membawa sinar baharu dalam hidupnya selain tidak berputus asa berdoa diterima semula keluarga.
“Ya allah bagi lah hati kepada diaorang keluarga saya untuk maafkan saya dan berikan apa yang saya mahu kasih sayang”.
Kepada saudara baharu sepertinya, Aiman berharap mereka tidak berputus asa mencari rahmat Allah dan sentiasa kuat berdepan setiap ujian yang dilalui.