Oleh: Fareez Azman
PETALING JAYA: Sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India, G Vijaya Lakshmi, 48, yang hilang pada 23 Ogos lalu sudah tentu masih segar dalam ingatan semua terutama pasukan SAR yang telah bertungkus lumus mencari mangsa.
Meskipun operasi SAR telah dihentikan 31 Ogos lalu, namun tempoh sembilan hari pencarian itu cukup memberi seribu satu pengalaman buat setiap anggota yang terlibat.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Rozihan Anwar Mamat dalam temubual eksklusif bersama Buletin TV3 berkata, semangat anggotanya masih tinggi ketika hari kesembilan pencarian namun akur dengan kekangan yang ada.
“Kita pasukan penyelamat ini, kalau nak ceritakan apabila sesuatu misi itu umpamanya lebih baik lima mangsa yang hilang tetapi kita jumpa seorang, berbanding seorang mangsa langsung tak jumpa.
“Umpama macam satu hentakan kepada kita, betapa efektifnya pencarian kita. Memang dari hari pertama sampai habis, perkara ini terlintas di fikiran saya begitu.
“Malah selepas Menteri Wilayah mengumumkan operasi dihentikan jam 3.42 Sabtu lalu, diorang (anggota SAR) datang jumpa saya supaya tambahan masa diberikan. Itulah saya boleh bagi gambaran bagaimana semangat mereka utuk selesaikan sesuatu operasi,” katanya.
Cabaran berbeza dengan Tragedi Batang Kali
Insiden kali ini disifatkan berbeza jika dibandingkan dengan tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 2022 lalu.
Jelasnya, operasi SAR itu hanya mengambil masa 10 hari buat anggota SAR mencari 31 mangsa yang tertimbus.
Namun kali ini, cabaran terbesar apabila kelajuan air di dalam lurang kumbahan boleh mencecah sehingga 3 Knot atau enam kilometer sejam yang berisiko buat pasukan SAR.
“Setiap insiden berbentuk dinamik, kalau kita ingat tanah runtuh batang kali pada 16 Disember tahun 2022, kita berhadapan dengan cabaran 31 mangsa yang tertimbus tapi alhamdulilah operasi SAR itu kita dapat selesaikan dalam tempoh 10 hari.
“Berbanding SAR kali ini bekerja di bawah tanah dengan kadar kelajuan arus dia berubah ada masa paling tenang lebih kurang 1.5 hingga 1.6 knot atau 0.82 meter per saat.
“Ada masa dia mencecah melebihi 3 knot air bertoksik dengan kelajuan tinggi dan bekerja dalam ruangan yang sempit, memang ada perbezaan Ops Jalan Masjid India dan Ops Batang Kali,” katanya.
Waktu paling berharga, ketika jam 2 hingga 4 pagi, ketika paras air itu susut, ekoran kekurangan penggunaan tandas oleh penduduk sekitar.
Ruangan sempit beri cabaran
Lokasi pencarian di dalam paip kumbahan itu, tidak sama seperti operasi-operasi sebelum ini.
Ruangan yang sempit, ditambah dengan gas beracun seperti Hidrogen Sulfate, Metana, Karbon Monoksida serta air bertoksik memberi lebih cabaran buat setiap anggota penyelam ketika mencari mangsa.
“Kita berhadapan cabaran bekerja dalam ruangan sempit walaupun kita rasa diameter 1.5 meter itu besar, tapi saiz itu berkurang disebabkan ada serpihan pasir yang berbaki dalam saluran paip.
“Keadaan dan kandungan air kumbahan itu sendiri sebagaimana kita tahu kumbahan ini ada gas metana, toksik yang mana penyelam kita masuk kita gunakan peralatan perlindungan diri (PPE) khas. Kita gunakan ‘drysuit’ yang mana air itu tidak akan meresap ke dalam badan,” katanya.
Paling kemuncak, ketika operasi SAR masuk hari keenam, apabila 26 anggota penyelam dari Unit Skuba JBPM diturunkan ke beberapa lokasi.
Kaedah pencarian mengikut arus (downstream) dan menentang arus (upstream) dijalankan setiap anggotanya.
26 Penyelam digerakkan hari keenam
“Kita kalah dalam pertempuran tetapi kita menang dalam peperangan, itu saya dapat simpulkan. Peperangan kami sepanjang 9 hari itu adalah hari keenam dimana kita gerakkan 26 penyelam daripada Kuala Lumpur, Selangor.
“Kita juga pinjam ‘drysuit’ daripada Akademi Bomba & Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di Tronoh, Perak. Kita gunakan set komunikasi supaya prosedur berjalan lancar.
“Ini satu lagi pengalaman kita, kita bahagikan kepada beberapa sektor, siapa jaga pam, siapa jaga penyelam, siapa jaga Unit Anjing Pengesan K-9. Kita integrasikan mereka supaya kita rasa itu misi terakhir kita. Tapi walau bagaimanapun nasib tidak menyebelahi kita,” ujarnya.
Sembilan ruang kumbahan sehingga Loji IWK dicari
Selain menyelam, pelbagai kaedah dijalankan pasukan SAR termasuk pencarian di sembilan ruang kumbahan selain lurang kumbahan berhampiran lokasi mangsa hilang.
Namun pencarian demi pencarian, tidak mendatangkan hasil apabila mangsa gagal ditemui.
“Kita cuba melakukan dua entry (kemasukan) dari kedua arah. Penyelam masuk daripada ground zero (lokasi kejadian) ikut arus air dan pasukan STORM JBPM ikut lurang kumbahan (Wisma Yakin) menentang arus, kita tengok mana paling cepat kita pergi ke target (serpihan 15 meter yang dikesan) kita.
Kita ada target, cuma target itu kita tak dapat sahkan. Secara jujur saya sendiri selaku ‘Forward Commander’ berada di sana sepanjang masa, kita ada rasa sangat kecewa sebab kita rasa kita dah buat pemeriksaan di sembilan ruang kumbahan hingga ke end point di Loji Pantai Dalam.
“Saya dimaklumkan staf IWK pun tak pernah keringkan loji itu sebagaimana kita buat. Kita keringkan sampai ke dasar sehingga ke basement 1 dan 2, supaya kita dapat kenal pasti jika mangsa ada di sana.
“Anggota penyelam turun buat carian secara manual masuk ke dalam saluran. Ini cabaran kita hadapi, ikut anggota saya ini, kita rasa sangat bangga dengan komitmen mereka,” kata Rozihan lagi.
Keluarga mangsa berpuas hati
Dari sudut keluarga mangsa tambahnya lagi, berpuas hati sepanjang operasi dijalankan di lokasi kejadian.
Malah beliau turut menunjukkan kepada salah seorang ahli keluarga mangsa bagaimana pencarian dilakukan sepanjang sembilan hari itu.
“Saya tunjuk dekat dia (keluarga mangsa), dia puas hati dengan apa yang kita buat. Itu salah satu cara kita buktikan kepada keluarga dia.
“Kita bukan buat-buat cari, tapi kita betul-betul cari. Hari kelima dan keenam itu dia lebih tenang,” katanya ketika menceritakan pengalaman operasi itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.