Oleh Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Setiap hari ada sahaja kes penipuan dalam talian dilaporkan dan ada kalanya membabitkan kerugian mencecah jutaan ringgit.
Statistik menunjukkan sejak 2020 hingga Februari lalu, sejumlah 78,751 kes direkod Polis Diraja Malaysia, (PDRM) dengan kerugian mencecah lebih RM2.4 bilion.
Angka yang membimbangkan itu jelas memperlihatkan betapa mudahnya orang ramai ditipu menerusi pelbagai taktik dan modus operandi.
Adakah masyarakat kurang peka atau tidak ambil pengajaran dari kes terdahulu?
Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, SAC Victor Sanjos berkata sikap cuai, serta gelap mata dengan tawaran kebendaan menyebabkan penipuan mudah berlaku.
Berdasarkan trend terkini, selain Phone Scam atau Macau Scam yang paling mudah memperdaya mangsa, penipuan Kod Hasad atau Malicious Code yang menggodam akaun bank melalui muat turun fail Android Package Kit (APK) juga kerap dilaporkan.
Iklan cuci rumah, barangan murah serta tawaran pekerjaan antara modal sindiket menjerat mangsa sama ada di media sosial mahupun aplikasi Whatsapp.
Mangsa akan diberi pautan APK oleh sindiket untuk dimuat turun dan bukannya melalui aplikasi yang sah bagi mendapatkan perkhidmatan dikehendaki.
Tindakan itu menyebabkan telefon mereka dikawal sekali gus memudahkan sindiket mendapatkan maklumat perbankan internet dan kata laluan sekali guna, OTP.
“Sebenarnya maklumat ini bukan pergi kepada bank-bank berkenaan tetapi pergi kepada server-server yang sudah diset oleh scammer jadi apabila maklumat ini ada pada mereka maka para scammer ini akan akses kita punya account kemudian pindahkan duit-duit kita ke akaun yang lain jadi ini sebenarnya yang kadang-kadang menakutkan bukan sahaja pada mangsa itu tetapi pada kita sebagai penguatkuasa kerana tiba-tiba hilang,” katanya menerusi temubual khas bersama Buletin TV3.
Selain tidak berhati-hati, kebanyakan yang ditipu dipercayai terus mengikut arahan diberi sindiket tanpa ada usaha menentukan kesahihan pautan yang diberi.
“Sepatutnya kita baca dulu kita faham baru kita tekan allow atau pun kita benarkan ia nya mengakses kita punya maklumat di dalam device kita misal kata handphone memang ramai yang tak mau bacalah.”
Pemangku Ketua Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber, CyberSecurity, Mohd Zabri Adil Talib berkata dalam kes sebegini pihaknya mengambil masa lebih dua minggu untuk melakukan siasatan forensik bergantung kod digunakan.
“Selalunya apps ini tempoh jangka hayat dia tempoh dia sekejap because dia nak mengelakkan untuk dikesan jadi apps ini dia ada perhubungan dengan dia punya command center kita panggil command center maknanya dia punya server because bila dah install apps tu kita punya maklumat perbankan tu bila mangsa tu masukkan dia akan hantar ke somewhere ke satu location server dia,” katanya.
Bagaimanapun mangsa yang membuat laporan dalam tempoh 24 jam biasanya mempunyai harapan untuk mendapat semula wang mereka berikutan tindakan pembekuan atau sekatan akaun yang dilakukan bank terlibat.
Berdasarkan statistik PDRM, sejak Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 beroperasi Oktober tahun lalu, 20, 881 panggilan diterima dengan kerugian dilaporkan mencecah 68.4 juta ringgit.
NSRC merupakan usaha sama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional NFCC, Polis, Bank Negara , Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi untuk menyelaraskan tindak balas pantas penipuan kewangan dalam talian.
Antara penipuan kewangan dalam talian ini termasuk Phishing, Macau scam, Malware, dan penipuan penghantaran barangan atau bungkusan (parcel scam) .