Oleh Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Isu remaja ‘rebel’ suatu perkara serius yang perlu menjadi perhatian.
Malah tindakan remaja yang mudah mendapat akses teknologi hingga mengundang masalah sosial juga bukan perkara baharu.
Buktinya peningkatan sehingga 14 peratus masalah dikalangan remaja kian meruncing sebagaimana kajian oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh lima tahun ini.
Menghisap vape, minuman keras, seks bebas, dan bunuh diri adalah antara isu sosial yang dihadapi golongan remaja masa kini.
Ia dilihat kian meruncing apabila dapatan KKM menyenaraikan peningkatan data terhadap isu itu kebelakangan ini.
Natijahnya, kira-kira 9 peratus golongan itu direkodkan mengambil vape. Manakala pengambilan alkohol juga dilihat tinggi iaitu 7.4 peratus.
Paling menggusarkan, 5.7 peratus remaja mengakui terbabit hubungan seks dalam tempoh sebulan serta berniat membunuh diri mencapai 13.1 peratus kes.
Peniaga, Yazid Atan berkata, data itu, pastinya mengundang gusar ibu bapa kerana akses memperoleh barang terlarang berkenaan dilihat makin mudah.
“Sekarang barang-barang seperti vapes mudah didapati di mana sahaja dengan harga murah. Malah penggunaan telefon pintar juga membuka ruang kepada remaja untuk mendapat akses kepada perkara-perkara yang tidak bermanfaat.
Jika tiada pemantaun dan tindakan tegas undang-undang daripada pihak berkuasa perkara ini mungkin akan meningkatkan lagi masalah sosial di negara ini,”katanya.
Suri Rumah, Hanim Hassan juga berpendapat, kurangnya perhatian dengan ibu-bapa, menjadi punca utama tindakan ‘terlarang’ si anak.
“Ibu bapa perlu menjadi teman rapat anak-anak dan sentiasa memantau pergerakan dan pergaulan mereka.
“Bukan mengongkong tapi jadilah pendengar yang setia kepada anak anak kita,” katanya.
Pakar Perubatan Awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Mohammad Farhan Rusli, dalam pada itu berpandangan, ibu bapa kunci utama dalam melakukan pemantauan terhadap anak mereka.
Selain tindakan tegas pihak kerajaan dalam isu dasar dan undang-undang.