comscore
Tumpuan :
Nasional

[EKSKLUSIF] Ajaran Sesat Terus Berevolusi dalam GISBH – Bekas Ahli

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Kesinambungan ajaran sesat Al-Arqam dilaporkan terus berakar hingga ke hari ini dalam bentuk yang lebih tersusun dan berbahaya.

Bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Mohd Ali, 33, mendakwa ajaran itu kini mengancam institusi keluarga, dengan wujudnya unsur penindasan.

Ali, anak sulung daripada 20 adik beradik, berkongsi pengalamannya sebagai anak kepada pengikut tegar Al-Arqam, setelah hidup dalam ajaran ini selama 30 tahun.

Ibu bapanya masih berpegang kepada ajaran itu meskipun telah difatwakan sesat pada tahun 1994.

“Saya dilahirkan dalam zaman Al-Arqam, mak ayah saya diaturkan perkahwinannya pada zaman Al-Arqam, mereka ialah ahli masa tu. Kemudian membawa kepada pengharaman Arqam,” Katanya dalam temu bual eksklusif bersama Buletin TV3.

Selepas pengharaman Al-Arqam, keluarganya menjalani kehidupan normal untuk beberapa tahun. Namun, pada tahun 1998, kumpulan Rufaqa’ ditubuhkan, dan keluarganya kembali terlibat dalam ajaran tersebut pada tahun 2000.

“Walaupun pada tempoh itu kami nampak seperti hidup biasa, masih ada hubungan antara bekas ahli yang meneruskan amalan tertentu seperti tahlil pada malam Jumaat,” jelasnya.

Ali mendedahkan bahawa kedua ibu bapanya menjadi ahli sepenuh masa GISBH sekitar tahun 2017, dan mereka dikehendaki tinggal di asrama yang disediakan oleh organisasi itu.

Sistem asrama tersebut, katanya, memisahkan pasangan suami isteri mengikut blok, malah jika mereka ingin bersama, perlu mengikut sistem giliran sebulan sekali.

“Zaman GISBH lebih menekan berbanding Rufaqa’. Kehidupan di asrama amat menindas, suami isteri dipisahkan dan mereka hanya boleh bertemu sebulan sekali,” katanya lagi.

Selain pemisahan pasangan, anak-anak mereka turut dihantar ke rumah amal atau madrasah yang dikendalikan oleh GISBH. Ali mendakwa bahawa di situ juga berlaku penindasan terhadap kanak-kanak, di mana kepimpinan melabel mereka sebagai anak-anak asnaf untuk meraih sumbangan.

“Mereka eksploitasi anak yatim dan anak jemaah. Anak-anak ahli juga ditempatkan di rumah anak yatim dan dikatakan sebagai anak asnaf, sedangkan saya pernah melihat anak-anak ini hadir dalam program jemaah,” katanya.

Mengenai bagaimana dia akhirnya berjaya melepaskan diri daripada cengkaman GISBH, Ali menjelaskan bahawa segalanya bermula apabila dia mula mempersoalkan tindak-tanduk kumpulan itu yang dirasakannya menyeleweng.

“Saya mula meninggalkan mereka sekitar tahun 2016 kerana saya mula rasa apa yang mereka lakukan ini salah dan menyeleweng,

“Saya mula banyak persoalkan(fahaman) saya dah mula bergaul dengan dunia luar dan cari ilmu-ilmu agama yang betul,” tambahnya.

Ketika laporan ini dihasilkan, Ibu bapa dan ahli keluarganya yang lain didakwa bersembunyi dan masih gagal dikesan semenjak Op Global yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 11 September lalu.

Malah, Ali mengesyaki mungkin ada dalam kalangan adik beradiknya yang turut diselamatkan pihak PDRM dalam beberapa siri Op Global di sekitar Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini