KUALA LUMPUR: Adakah beberapa kapal `usang’ Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih mampu lagi diguna pakai secara optimum bagi mempertahankan kedaulatan negara ?
Persoalan itu akan terjawab melalui latihan Eksesais KERISMAS disertai setiap warga TLDM di Laut China Selatan ketika ini.
Latihan mega ini amat menuntut komitmen `The Navy People’.Ia tidak hanya mencetus kegusaran malah adrenalin setiap anggota kapal TLDM turut meningkat tatkala eksesais itu mula membuka tirai.
‘Eksesais KERISMAS’ adalah eksesais tahunan TLDM berskala besar yang menggabungkan aset-aset daripada Armada Barat dan Armada Timur.
Ia menjadi acara kemuncak kepada keseluruhan eksesais dan latihan berkala yang dilaksanakan kedua-dua Armada TLDM.
Objektif utama eksesais ini adalah untuk mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset TLDM serta menguji kecekapan warga TLDM dalam mengendalikan aset-aset TLDM itu sendiri.
Bagi tahun 2022 ini, anggota TLDM berkampung di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan latihan Fasa di perairan Laut China Selatan bermula 29 September lalu hingga 23 Oktober hadapan.
Eksesais terbesar ini turut menilai titik tenang bagi barisan kepimpinan di kapal berikutan slot Chief of Navy Inspection (CINSPEC) iaitu siri penilaian dan pemeriksaan kesiagaan oleh Panglima Tentera Laut turut dilaksanakan ke atas kapal-kapal TLDM.
Mengimbau kembali sejarah pelaksanaan eksesais ini, ia berubah mengikut peredaran masa dan kemampuan ekonomi negara.
Selepas dianjurkan semula pada 2014, eksesais ini terus diberi pendekatan berbeza di mana bermula tahun 2015 sehingga 2018, ia dikenali sebagai Eksesais ANGSA yaknigabungan Eks KERISMAS dan Eks ANGKASA RAYA membabitkan aset-aset TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Namun begitu pada tahun 2019, berdepan dengan masalah keusangan aset, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany mengarahkan Eks KERISMAS dan CINSPEC dilaksanakan secara
intra TLDM dalam usaha mengukur kesiagaan TLDM sendiri pada tahun pertama pemerintahan beliau. Kesinambungan itu, Eks KERISMAS dan CINSPEC 2019 berjaya terlaksana walaupun hanya dengan penglibatan 11 buah kapal TLDM di sekitar Perairan Tioman, Kuantan.
Cabaran besar TLDM pada ketika itu adalah bagaimana untuk mengoptimumkan aset-aset yang terlalu berusia yang sewajarnya ditamatkan tauliah kerana sudah melepasi tempoh perkhidmatan dan senggaraan.
Untuk rekod, sehingga kini, dianggarkan hampir 75 peratus jentera utama kapal-kapal TLDM sudah melepasi tempoh penggunaan dan senggaraan selamat.
Berikutan hasil penemuan dan penilaian daripada Eks KERISMAS dan CINSPEC 2019, keutamaan “To Float and To Move” diterapkan oleh Pengurusan Tertinggi TLDM bersesuaian dengan jumlah peruntukan perbelanjaan pembangunan dan pengurusan yang diterima oleh TLDM daripada Kerajaan.
Tujuan utama konsep ini adalah untuk menyediakan aset TLDM yang mampu menggalas tugasan operasi secara optimum.
Dalam masa yang sama, isu kompetensi warga kapal TLDM turut diberikan penekanan oleh Pengurusan Tertinggi TLDM selepas hasil penilaian jelas menunjukkan kompetensi warga juga pada tahap kritikal setelah banyak platform tidak mampu beroperasi pada tahap yang optimum.
Justeru, Eks KERISMAS 27/2022 dan CINSPEC 2022 akan menjadi medan bagi Pengurusan Tertinggi TLDM melihat di tahap manakah Armada TLDM berada sekarang. Dalam masa yang sama, eksesais kali ini akan menjadi saksi sama ada aspirasi yang digariskan iaitu ‘To Float dan To Move’ berjaya dicapai atau sebaliknya.
Konsep ini juga adalah untuk menyediakan aset TLDM yang mampu menggalas tugasan secara optimum dengan kekangan aset dan peruntukan sedia ada.
Bagi eksesais kali ini, 23 kapal, sebuah kapal selam serta pembabitan hampir 2,073 personel termasuklah elemen Pasukan Khas Laut terbabit secara langsung.
Walaupun pun TLDM dihimpit dengan isu kapal yang kian keusangan dan menua ini, TLDM terus menyandar impian dan harapan kepada kepimpinan Kerajaan Malaysia dalam merealisasikan perolehan aset-aset baharu bagi memperkasa peranan TLDM.
Dengan sokongan serta perhatian yang diberikan terutamanya oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan kepada TLDM, pastinya inisiatif pertahanan negara ini tidak hanya menjadi angan-angan Mat Jenin.
Jurang keupayaan peperangan TLDM yang kurang setaraf berbanding angkatan negara serantau pasti dapat diubah dengan jaminan Kerajaan bahawa program Littoral Combat Ship (LCS) akan diteruskan selain TLDM juga berhasrat agar program perolehan Kapal Misi Pesisir (LMS) Edisi Kedua dapat dinyatakan dalam masa terdekat.
Dengan penambahbaikan ke atas sistem persenjataan dan penderia terbaharu, LMS Edisi Kedua dijangka lebih tangkas dan berkeupayaan berbanding LMS sedia ada. Di samping itu juga, pembangunan Markas Wilayah Laut 4 di Bintulu perlu disegerakan mengambil kira keperluan operasi dan geostrategik serta menjamin kedaulatan Zon Maritim Malaysia ketika ini. – HARIAN METRO