Tumpuan :
Nasional

Ekonomi Malaysia: Peluang baharu di sebalik cabaran global – Dr Apurva

Dr Apurva Sanghi, Ahli Ekonomi Bank Dunia ke Malaysia.

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Malaysia terus muncul sebagai destinasi pelaburan pilihan di tengah landskap ekonomi global yang mencabar.

Ahli Ekonomi Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi menjelaskan Malaysia menampakkan tanda-tanda kebangkitan dalam usaha menarik pelaburan langsung asing (FDI) serta mengukuhkan pertumbuhan ekonomi.

Keadaan ini disebalik penurunan catatan FDI selama lebih sedekad di peringkat global, akibat pertumbuhan ekonomi yang perlahan, ketidaktentuan geopolitik, dan perubahan dalam rantaian bekalan.

“Dalam lima bulan pertama 2024, Malaysia berjaya menarik pelaburan berjumlah RM255 bilion, peningkatan 11 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.”

“Namun, Malaysia perlu bersaing dengan negara jiran seperti Vietnam dan Thailand yang kini mendahului dalam jumlah stok FDI. Pelaburan sebagai peratusan KDNK Malaysia juga telah menurun sejak Krisis Kewangan Asia, menunjukkan keperluan pembaharuan dasar untuk mengembalikan daya saing,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Perak Economic Outlook 2025, di sini hari ini.

Tambahnya, elemen Kestabilan dasar, Infrastruktur berkualiti, tenaga kerja berbakat perlu diberikan perhatian.

“Malaysia mendapat pujian atas dasar fiskal dan monetari yang stabil, tetapi mobilisasi hasil cukai perlu ditingkatkan. Cukai karbon dan pengurangan subsidi bahan api fosil, jika dilaksanakan dengan teliti, boleh merangsang pelaburan hijau.”

“Walaupun kadar pengangguran keseluruhan rendah, dua pertiga belia berumur 15 hingga 25 tahun menghadapi pengangguran berkaitan kemahiran. Ini berpunca daripada kekurangan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” jelasnya.

Justeru, Malaysia katanya perlu memberi fokus kepada pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.

Melangkah Ke Hadapan Malaysia jelasnya berpotensi mengulangi kejayaan era 1988–1997 apabila pelaburan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

“Malaysia mempunyai asas yang kukuh. Dengan usaha berterusan, negara ini mampu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan memastikan ekonomi yang mampan untuk generasi akan datang,” kata Dr Apurva.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini