Oleh Amanda Lopez
KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 5.6 peratus bagi suku tahun pertama tahun ini.
Pertumbuhan ini disokong permintaan domestik yang stabil serta pemulihan dalam pasaran buruh.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, “Prestasi ekonomi pada suku tahun pertama 2023, dari segi penawaran dipacu pertumbuhan kesemua sektor khususnya sektor Perkhidmatan (7.3%), Pembuatan (3.2%) dan Pembinaan (7.4%). “
Kadar pengangguran bagi tempoh dikaji kini adalah 3.5%.
Katanya dari segi permintaan, perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan pembentukan modal tetap kasar terus memacu pertumbuhan ekonomi pada suku tahun ini.
Mengulas lanjut dari segi permintaan, Datuk Seri Uzir berkata “Perbelanjaan penggunaan akhir swasta atau isi rumah yang menyumbang 61.5 peratus kepada KDNK, meningkat 5.9 peratus bagi tempoh dikaji.”
Eksport bersih juga kekal positif pada 54.4% berbanding 23% suku tahun ke-4 tahun lalu. Momentum ini dipengaruhi 6.5% kejatuhan dalam Import berbanding Eksport yang menyusut 3.3%.
Dalam pada itu, di peringkat global, ekonomi dunia terus mengalami ketidaktentuan akibat inflasi yang tinggi.
Di rantau ASEAN, KDNK bertumbuh pada kadar lebih perlahan terutamanya Vietnam dan Filipina masing-masing mencatatkan pertumbuhan pada 3.3 peratus (ST4 2022: 5.9%) dan 6.4 peratus (ST4 2022: 7.1%).
Berdasarkan anggaran awalan, ekonomi Singapura bertumbuh 0.1 peratus (ST4 2022: 2.1%) pada suku dikaji manakala KDNK Indonesia kekal meningkat 5%