comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ satu perkara positif – Nik Nazmi

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyifatkan ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ yang diluncurkan Perdana Menteri hari ini sebagai satu langkah positif.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata terdapat beberapa perkara yang relevan bagi kementeriannya iaitu mengenai ketahanan iklim dan juga pembangunan hijau sepertimana yang disebut dalam ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pagi tadi.

“Bagi kementerian kami, NRECC, ada beberapa perkara yang relevan tentang soal ketahanan iklim dan juga pembangunan hijau.

“Juga tentang soal kemudahan asas untuk semua, soal elektrik dan air yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan beliau.

“Tapi secara keseluruhannya kita tahu bahawa kita perlu ada satu anjakan di dalam kerangka ekonomi kita, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Bukit Kiara hari ini.

Artikel berkaitan: INTIPATI Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat

Tambahnya, kerajaan juga perlu memanfaatkan kekuatan sedia ada bagi memastikan ekonomi negara berada di tahap yang lebih tinggi untuk segenap lapisan masyarakat.

Jelasnya, langkah dilaksanakan Kerajaan Perpaduan itu memperlihatkan hala tuju ekonomi negara kepada semua pihak.

“Kita perlu memanfaatkan kekuatan-kekuatan kita contohnya kedudukan (negara) di Asia, supaya kita dapat memastikan ekonomi kita berada pada tahap yang lebih tinggi untuk kesemua lapisan rakyat.

“Jadi bagi saya ini satu perkara yang sangat positif kerana dengan ini orang akan dapat lihat secara jelas apa hala tuju ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri pada majlis sama berkata, pembangunan rendah karbon penting bagi mengubah landskap ekonomi yang lebih mampan.

Katanya, kerajaan akan meluncurkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Malaysia (NETR) untuk mempercepat peralihan tenaga serta mengubah cara tenaga dijana demi memjamin ketahanan iklim.

Loading...
Terkini