KUALA LUMPUR: Filem animasi popular, Ejen Ali The Movie terus melakar kecemerlangan apabila mula disiarkan di saluran percuma dan ditayangkan serentak di platform ‘video on demand’ (VOD) di Indonesia, sejak kelmarin.
Ia susulan filem terbitan WAU Animation dan Primeworks Studios itu menerima sambutan baik menerusi siri pertama dan kedua menerusi saluran Rajawali Televisi (RTV).
Kerjasama antarabangsa dapat dicapai hasil perjanjian pengedaran RTV bersama saluran televisyen percuma nasional di Indonesia, selain memperlihatkan siri Ejen Ali musim pertama dan kedua berjaya memukau penonton di Indonesia sejak beberapa tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, selepas Ejen Ali berjaya mencipta fenomena, tayangannya sering ditagih peminat siri animasi.
Malah katanya, peluang diberikan RTV menjadi pembuka laluan untuk karya tempatan terus melebarkan sayap dengan menerima kehadiran peminat pelbagai negara.
“Ejen Ali The Movie mendapat sambutan positif penonton. Ramai memuji gabungan unik aksi, komedi dan jalan cerita yang memberi inspirasi.
“Kejayaan filem ini membuktikan penceritaan hebat dihasil rakan kongsi, WAU Animation yang membuatkan ia dapat memikat hati penonton semua lapisan masyarakat.
“Kehadiran RTV sebagai rakan saluran televisyen (TV) percuma ini memberi peluang besar membawa kandungan animasi Malaysia kepada peminat di Indonesia.
“Ia akan membawa Ejen Ali lebih dekat dengan pasaran Indonesia dan menerima peminat baharu di saluran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Khairul Anwar berpendapat peluang diberikan RTV menjadi pembuka laluan untuk karya tempatan terus melebarkan sayap dengan menerima kehadiran peminat pelbagai negara.
Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation yang juga Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan kejayaan filem Ejen Ali The Movie menembusi pasaran Indonesia membuktikan karya tempatan mempunyai nilai dan kualiti tersendiri.
“Kami berbesar hati menerima berita filem Ejen Ali The Movie akan ditayangkan di Indonesia. Ini adalah satu penanda aras yang baik buat filem animasi ini kerana disiarkan secara percuma buat kali pertama di Indonesia.
“Kami berharap Ejen Ali akan terus menjadi ‘ejen’ kegemaran penonton dan karya ini dapat memberi inspirasi kepada penonton melalui semangat gigih Ejen Ali dalam berjuang demi kebaikan.
“Ejen Ali mempunyai sesuatu yang ingin ditunjukkan dan kami tidak sabar melihat bagaimana ia berinteraksi dengan penonton,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif RTV, Artine S Utomo mengaku teruja menjadi penyiar karya yang mengungguli carta filem animasi pecah panggung di Malaysia.
“Kami teruja membawa filem Ejen Ali The Movie ke RTV dan komited menyampaikan kandungan berkualiti tinggi yang dinantikan penonton.
“Sejak Januari, RTV sentiasa berusaha mempamerkan siri TV, Ejen Ali sebagai sebahagian usaha berterusan membawa cerita lebih inovatif dan menghiburkan penonton.
“Kami berharap penonton akan terus menyokong dan mengikuti platform sosial sambil berusaha membawa lebih banyak kandungan berkualiti dari rantau Asia Tenggara,” katanya.
Sebagai info, RTV adalah rangkaian TV terbesar di Indonesia yang mempunyai liputan 90 peratus daripada populasi di negara itu dan akan disiarkan serentak di platform lain termasuk penstriman dalam talian dan media digital.
Siri animasi yang disiarkan di Malaysia sejak 2016 itu sudah memasuki pasaran lebih 50 negara, termasuk rangkaian serantau Netflix, Disney+ Hotstar, Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV di Indonesia dan TV AlMajeed di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Ejen Ali The Movie juga mencatat kejayaan besar apabila meraih RM30 juta dan menjadi satu-satunya filem animasi pecah panggung pada 2019 termasuk platform VOD di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, sekali gus menjadikannya animasi dengan kutipan tertinggi di Malaysia setakat ini.-BERITA HARIAN