Tumpuan :
Dunia Seni

‘Ejen Ali The Movie 2’ lebih mendebarkan, mula tayang 2025

Foto: NSTP

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Filem animasi pecah panggung, ‘Ejen Ali The Movie’ akan kembali menemui peminat dengan sekuel kedua pada 2025 yang pastinya menjanjikan kelainan serta aksi lebih menarik.

Mengumumkan perkara itu, Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin berkata siri animasi usahasama Primeworks Studios dan WAU Animation akan menampilkan pembinaan watak Ejen Ali yang dikembangkan menjadi lebih futuristik dan misteri.

“Untuk sekuel kedua ni, saya pasti peminat Ejen Ali paling menantikan pembinaan watak tersebut yang akan dilengkapi dengan sebuah sut berperisai baharu iaitu Projek Satria

“Idea projek satria ini juga telah lama kami bincangkan, jadi, akan datang ni kami pun tak sabar untuk kongsikan perjalanan Ejen Ali kepada peminat setianya,” katanya ketika ditemui pada tayangan khas Misi Baharu, ‘Misi : First Look Ejen Ali The Movie 2’ di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Usamah Zaid menambah animasi berkisar perisik kanak-kanak ini masih mengekalkan barisan penyumbang suara watak utamanya iaitu Ida Rahayu Yusoff (Ejen Ali); Noorhayati Maslini Omar (Ejen Alicia); Shafiq Isa (Ejen Bakar) dan Azman Zulkiply (Rizwan) serta (Jeneral Rama).

Justeru, kesinambungan bahagian kedua yang menelan kos RM10 juta itu akan sarat dengan konflik dan plot ‘twist’ serba baharu bagi menyuntik kelainan segar.

“Dalam filem ini, selain daripada watak Ejen Ali bersama sut Satria, watak Ejen Alicia yang akan memakai kacamata I.R.I.S baharu juga akan membuatkan peminatnya tak sabar nak tengok

“Insha-Allah, saya juga tidak boleh nak beri ‘spoiler’ banyak sangat tetapi kita tengoklah apa dan siapa watak antigonis yang akan ditampilkan juga dalam filem kedua ni,” jelasnya.

Lebih menarik, Pengurus Animasi Primeworks Studios, Aziemah Azman memberitahu, menuju debaran tayangan filem animasi tersebut, cenderahati istimewa juga bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

Antaranya, permainan dan buku edisi khas: ‘Ejen Ali Archive’.

“Selain filem yang kita rasa peminatnya cukup teruja menantikannya, kita juga akan keluarkan permainan baharu dan buku baharu yang akan diumumkan penjualannya tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, ‘Tayangan Khas Misi Baharu, Misi: First Look Ejen Ali The Movie 2’ dirasmikan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Ia sebahagian daripada pelancaran program di Festival Kandungan Digital Malaysia 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini