comscore
Tumpuan :
Nasional

Eileen Ooi dilantik CEO PHD Asia Pasifik

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Agensi Kumpulan Media (OMG) PHD, mengumumkan pelantikan Eileen Ooi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asia Pasifik (APAC) 10 September lalu.

Ooi yang mempunyai pengalaman lebih 19 tahun dalam industri, berkhidmat sebagai CEO di OMG Malaysia sebelum menghabiskan empat tahun bersama PHD Malaysia sebagai Pengarah Urusan.

Pelantikan ini menunjukkan komitmen OMG dalam mempromosikan bakat dalaman selain menjadi bukti rekod cemerlang Ooi dalam membina perniagaan yang didorong oleh hubungan kukuh dengan pelanggan serta komitmennya memacu pertumbuhan serta inovasi.

Di bawah kepimpinan beliau, Ooi berjaya mentransformasikan OMG Malaysia menjadi sebuah kuasa besar yang disegani.

Buktinya, OMG Malaysia dinamakan sebagai Rangkaian Media Berprestasi Terbaik oleh RECMA awal tahun ini, dengan PHD Malaysia dan OMD Malaysia masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua dalam kategori vitaliti.

Dengan kejayaan menukar perniagaan baru untuk pelanggan termasuk CelcomDigi, Tyson Foods, dan Vinda, serta mengekalkan pelanggan utama seperti HSBC, Beiersdorf, dan Wipro Unza, rangkaian ini juga mencatat skor penglibatan pekerja tertinggi.

Dalam peranan barunya, Ooi akan memimpin operasi perniagaan PHD di seluruh APAC dan bekerjasama dengan pelanggan daripada beberapa jenama terkemuka dan berjaya di dunia, termasuk Volkswagen Group, CHANEL, Diageo, dan Singapore Airlines.

Ooi akan melapor terus kepada Tony Harradine, CEO Omnicom Media Group APAC, dan Guy Marks, CEO PHD Worldwide.

Dengan pengganti Ooi dijangka dinamakan pada suku keempat, beliau akan terus memimpin OMG Malaysia sebagai CEO buat sementara waktu, memastikan peralihan yang lancar dan momentum yang berterusan.

CEO OMG Asia Pasifik, Tony Harradine menyifatkan Ooi sebagai indocidu yang mempunyai keupayaan unik untuk mengenal pasti peluang strategik dan menukarkan ia kepada hasil yang nyata.

“Di bawah kepimpinannya yang berwawasan, OMG Malaysia telah melalui transformasi yang luar biasa, mencapai pertumbuhan perniagaan yang signifikan, dengan keyakinan pelanggan dan pekerja berada pada tahap tertinggi.

Dengan pengalaman kumulatif serta pemahamannya terhadap keperluan perniagaan di PHD dan di peringkat kumpulan, Eileen akan berjaya membawa PHD Asia Pasifik ke arah era pertumbuhan baru,” katanya.

Dalam pada itu CEO PHD Worldwide, Guy Marks pula berkata, dengan rekod pencapaian Ooi, beliau merupakan pilihan terbaik dalam memastikan PHD APAC memenuhi aspirasinha.

“PHD berjanji kepada pelanggan kami bahawa kami akan membantu mereka berfikir lebih bijak, bergerak lebih pantas, dan berkembang lebih besar daripada pasaran.

“Dengan rekod pencapaiannya dalam memacu pertumbuhan untuk pelanggan dan agensinya, Eileen adalah pilihan terbaik untuk memastikan PHD APAC memenuhi aspirasi tersebut, katanya.

Sebagai penyokong tegar dalam pembangunan bakat, Ooi secara aktif menyumbang kepada industri pengiklanan yang lebih luas dengan mengambil bahagian dalam ceramah di peringkat tempatan dan serantau.

Selain itu, Ooi baru-baru ini dipilih semula sebagai Presiden untuk Persatuan Digital Malaysia (MDA).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini