KUALA LUMPUR: Polis memulakan siasatan terhadap pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew berhubung dakwaan laporan polis yang dibuat seorang wanita, baru-baru ini.
Tanpa mendedahkan laporan yang dibuat itu berkait kesalahan apa, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan satu siasatan dimulakan.
Artikel berkaitan: Ebit Lew buat laporan polis dakwa difitnah
Sementara itu, polis hari ini turut mengesahkan menerima laporan daripada Ebit Lew yang mendakwa dia difitnah dalam sebuah video tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, laporan itu diterimanya daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun pada jam 2.17 pagi.
Menurutnya, mangsa mendakwa dirinya difitnah oleh individu yang bernama ‘Mondy’ dalam video berdurasi 27 minit 56 saat yang dimuat naik di media sosial pada Jumaat lalu.
“Hasil siasatan mendapati, video berkenaan memaparkan wawancara yang dikatakan memfitnah individu terkenal itu dan kini mendapat 225,177 jumlah tontonan, 2,600 tanda suka dan 2,800 komen.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Artikel berkaitan: Kes Ebit Lew: Tarikh ubah suai gambar sama dengan hari laporan polis dibuat – Saksi
Mohd Fairus berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian video yang tular di media sosial.
Katanya, jika didapati terdapat sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang, pihak polis akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Terdahulu, Ebit Lew dalam hantaran di media sosialnya memaklumkan satu laporan polis dibuat selepas mendakwa dirinya dirinya difitnah secara melampau, baru-baru ini.
Ebit yang baru tiba dari Jeddah membuat laporan dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Kes berkenaan juga akan diserah kepada pihak peguamnya untuk tindakan undang-undang.
Pada 11 September lalu, media tempatan melaporkan, ibu tunggal, Mondy Tattoo mendedahkan cerita sebenar mengenai bantuan penceramah bebas, Ustaz Ebit di sebuah podcast khas yang dikendalikan oleh Caprice.
Pendedahan berkenaan dibuat menerusi hantaran di Instagram dan telah dimuat naik di YouTube.