comscore
Tumpuan :
Nasional

EAIC tubuh pasukan petugas khas siasat isu salah laku sindiket visa perubatan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat isu salah laku berhubung sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing daripada beberapa negara.

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penubuhan pasukan itu selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Menurut suruhanjaya itu, pasukan terbabit akan diketuai salah seorang Pesuruhjaya EAIC, Datuk Seri Dr Razali Ab Malik.

“Berdasarkan siasatan awal yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 9/2024 pada hari ini, mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk siasatan menyeluruh dijalankan terhadap aktiviti-aktiviti yang mencurigakan berkaitan sindiket tersebut berdasarkan dokumen-dokumen yang telah disita,” katanya.

EAIC menyatakan, tindakan itu diambil bagi memastikan perkhidmatan kemudahan visa perubatan kepada warga asing diluluskan dengan penuh integriti dan melindungi keselamatan negara.

Pada masa sama, EAIC menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan siasatan sindiket berkenaan untuk menghubungi Pegawai Siasatan EAIC di talian 019-2325569.

Terdahulu, media melaporkan, EAIC menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) susulan dakwaan beberapa pegawai Imigresen disyaki terlibat dalam sindiket visa perubatan membabitkan warga asing.

Sitaan dilakukan pada 1 Oktober lalu setelah hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen (JIM) Putrajaya.

Sebelum ini, media melaporkan, beberapa pegawai JIM sedang disiasat selepas disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan yang membawa masuk warga asing dengan menyediakan visa perubatan kononnya mereka masuk ke negara ini atas tujuan mendapatkan perubatan namun bekerja secara haram.

Menurut sumber, siasatan baru-baru ini melibatkan kelulusan lebih 20,000 visa perubatan yang diberikan tahun lalu melibatkan satu negeri sahaja dengan setiap individu dikenakan bayaran sekitar RM4,500.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini