Tumpuan :
Nasional

EAIC syor PDRM buka kertas siasatan isu salah laku kelulusan permohonan COM


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) disyorkan untuk membuka satu kertas siasatan berhubung isu salah laku membabitkan kelulusan permohonan Memo Periksa Keluar (COM) oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Syor itu dikemukakan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) setelah mendapati pegawai Imigresen terlibat telah cuai dan tidak bertanggungjawab apabila gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai oleh JIM bagi kelulusan permohonan tersebut.

Selain itu, hasil siasatan EAIC mendapati permohonan COM berkenaan telah diluluskan berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh pihak ketiga.

“Hasil siasatan juga menunjukkan terdapat
pemalsuan dokumen berhubung permohonan COM tersebut dan pegawai Imigresen terlibat juga cuai kerana menghilangkan dokumen asal
permohonan COM itu,” menurut kenyataan itu.

EAIC sebelum ini menerima aduan terhadap JIM berhubung kelulusan COM tanpa pengetahuan
ataupun kehadiran mana-mana pengarah syarikat sehingga membatalkan pas lawatan kerja sementara (PLKS) pekerja di syarikat tersebut.

Siasatan dijalankan mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

Mengulas lanjut, EAIC memutuskan untuk merujuk syor hukuman terhadap pegawai Imigresen yang terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM.

Cadangan penambahbaikan Sistem Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) juga telah dikemukakan kepada Ketua Pengarah Imigresen.

“EAIC juga mengesyorkan agar PDRM untuk membuka satu kertas siasatan bagi membolehkan penyiasatan dijalankan bersabit dengan laporan polis yang dibuat oleh pengadu EAIC sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
Loading...
Terkini