KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa negara ini yang berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah, menurut Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta rakyat berusia 21 tahun ke atas.
“Bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta rakyat iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Inisiatif e-tunai kepada golongan dewasa itu diumumkan selepas kerajaan katanya melihat kejayaan dan impak besar program berkenaan kepada masyarakat.