Tumpuan :
Nasional

Dzulkefly jumpa 5 kesatuan jururawat esok, bincang isu tambahan waktu bekerja

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan pelaksanaan lanjutan jumlah waktu bekerja dilakukan dengan memelihara kepentingan, kebajikan, kemaslahatan, beban tugas jururawat supaya terbela dan terjamin.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau akan bertemu dengan lima kesatuan jururawat esok bagi membincangkan isu itu dengan lebih lanjut.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan kesatuan jururawat itu esok, jadi mereka juga membuat kenyataan media mereka sebelum ini, mereka akan mengadakan konsultasi bersama ahli-ahli mereka, dan menyebutkan mereka mahu mengadakan libat urus, dalam masa yang sama kami (KKM) juga akan membuat sesi libat urus dengan mereka.

“Kami mahu pastikan yang apapun dari sudut arahan dan sebagainya ini akan kita lakukan setelah kita benar-benar dapat memastikan kepentingan, kebajikan kemaslahatan, beban tugas jururawat akan dapat kita bela dan jamin.

“Kita tahu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) itu adalah satu (arahan) yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), jadi kita akan ambil segala usaha untuk memastikan bahawa setelah semua kriteria kebajikan khususnya dapat kita jamin dan situlah dapat kita lakukan pelaksanaanya,” katanya ketika mengulas mengenai lanjutan waktu bekerja jururawat.

Pertemuan tersebut yang akan diadakan di Kuala Lumpur melibatkan wakil Kesatuan Jururawat Malaya, Kesatuan Bidan-Bidan & Jururawat Masyarakat Kerajaan Semenanjung Malaysia dan Kesatuan Perkhidmatan Kesihatan Sabah (SMSU).

Selain Kesatuan Perkhidmatan Kesihatan Sarawak (SMSU), dan Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebelum ini, media melaporkan keputusan menambah jumlah waktu bekerja itu dinyatakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 berkaitan SSPA, merangkumi semua petugas yang bekerja syif khasnya Jururawat.

Datuk Seri Dr Dzulkefly ditemui media ketika menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Mengenai Perubatan Tradisional dan Komplementari yang ke-10 (INTRACOM ke-10) 2024 di Institut Kesihatan Negara (NIH), hari ini.

Sementara itu dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa era digital membuka peluang untuk mentakrifkan semula penjagaan kesihatan sebagai ruang kolaboratif dan inklusif bagi mewujudkan ekosistem di mana kebijaksanaan tradisional dan sains moden dapat bekerjasama untuk kebaikan bersama.

“Melihat ke masa depan, visi saya untuk penjagaan kesihatan adalah di mana Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) berdiri seiring dengan perubatan moden, mencipta pendekatan yang benar-benar integratif.” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini