KUALA TERENGGANU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) negeri sedang menyiasat penularan video di laman sosial sejak minggu lalu yang memaparkan ‘anjing kopi’ (anjing liar) mati ditembak.
Pengarah DVS negeri, Dr Anum Man berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan mengenai video tular berkenaan.
“DVS negeri tidak berdiam diri dan kertas siasatan sudah dibuka.
“Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi kira-kira satu minit yang dimuat naik di Instagram memaparkan dua kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melakukan operasi menghapuskan anjing liar berkeliaran di daerah Besut.
Video yang dimuat naik melalui laman sosial termasuk Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar negeri turut mempamerkan seorang individu sedang menggosok anjing liar yang terkena tembakan.
Mengulas lanjut, Dr Anum berkata, siasatan dibuat mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.
“Kita minta orang ramai bersabar, banyak video yang memaparkan anjing kopi (anjing liar) mati didakwa ditembak, kita cuba siasat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.