comscore
Tumpuan :
Nasional

Duta Online KPKT sebar dasar mesra rakyat, tangkis fitnah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan pasukan ‘Duta Online KPKT’ untuk menangkis fitnah dan menyampaikan maklumat sahih.

Menterinya, Nga Kor Ming dalam kenyataan berkata, seramai 200 kakitangan kementerian telah dipilih sebagai duta tersebut untuk kerajaan MADANI.

“Penubuhan pasukan ini bukan sahaja untuk menyebarkan maklumat yang sahih dan mempertahankan rakyat daripada fitnah, tetapi juga untuk menggunakan bahasa dan pendekatan yang lebih mudah difahami oleh rakyat.

“Ini bertujuan untuk menyampaikan dasar-dasar mesra rakyat yang diperkenalkan oleh kerajaan MADANI,” katanya hari ini.

Pengumuman itu dibuat Nga selepas Majlis Perasmian Bengkel Sentuhan Maya KPKT di sini.

Mengulas mengenai Sentuhan Maya KPKT, menurut Nga, ia diwujudkan untuk membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat yang sahih dan polisi kerajaan dengan lebih efektif.

Selain itu, jelasnya, media sosial memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dalam era digital.

Tambah Nga, video pendek, siaran langsung dan pelbagai platform boleh digunakan sebagai medan menyelaraskan informasi kerajaan supaya rakyat berdiri teguh bersama mendukung aspirasi Malaysia MADANI.

“Saya juga menggalakkan ahli-ahli pasukan Duta Online KPKT untuk menggunakan kreativiti dalam menghasilkan kandungan yang menarik dan tidak membosankan,” katanya.

Pada masa sama, beliau percaya maklumat benar dapat disampaikan dengan lebih berkesan sekali gus menarik perhatian masyarakat menerusi kreativiti.

Memberi contoh pencapaian Malaysia melonjak sembilan tangga buat pertama kali dan berjaya dipilih sebagai negara ke-10 paling aman di dunia serta ketiga di Asia-Pasifik dalam Indeks Keamanan Dunia baru-baru ini, Nga berkata, ia wajar mandapat liputan yang meluas.

Tahun lalu, Malaysia berada di tangga ke-19 keseluruhan dalam Indeks Keamanan Dunia.

Peningkatan kedudukan itu berdasarkan 23 indikator yang dikelompokkan kepada tiga kriteria iaitu keselamatan dan keamanan sosial, tahap konflik domestik dan antarabangsa yang berterusan serta tahap ketenteraan.

Nga berkata, antara faktor utama kejayaan itu adalah dasar kerajaan MADANI yang inklusif, meraikan kepelbagaian dan sentiasa bersikap prihatin.

Selain itu, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai budaya dan kadar jenayah yang rendah berbanding negara lain di rantau ini turut menyumbang kepada kedudukan berkenaan.

“Profil antarabangsa Malaysia sedang meningkat. Kestabilan dan kepelbagaian adalah aset negara kita.

“Kesatuan dalam kepelbagaian adalah cara hidup kita. Marilah kita sentiasa menjaga dan membela keharmonian budaya masyarakat berbilang kaum dalam negara yang tercinta,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini