comscore
Tumpuan :
Nasional

Duta Malaysia serah watikah pelantikan kepada Putin

Duta Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai menyerahkan watikah pelantikan kepada Presiden Russia, Vladimir Putin.

KUALA LUMPUR: Duta Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai adalah antara duta dari 28 negara yang menyerahkan watikah pelantikan kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, di Alexander Hall, Istana Grand Kremlin di Moscow semalam.

Penyerahan watikah ini menandakan peranan rasmi Cheong sebagai duta Malaysia ke-16 ke Russia.

Menurut Agensi Berita Rusia (TASS), majlis itu adalah yang pertama dalam acara seumpamanya yang dijadualkan pada 2024.

Kali terakhir Putin bertemu dengan duta baharu ke Russia adalah pada 4 Disember 2023, apabila beliau menerima watikah pelantikan daripada 21 diplomat.

Dalam ucapannya, Putin menekankan bahawa Russia menjalankan dasar luar yang konstruktif dengan mengambil kira kepentingannya serta trend global.

“Russia adalah peserta aktif dalam hal ehwal antarabangsa. Kami menjalankan dasar luar konstruktif dengan mengambil kira kepentingan nasional dan trend pembangunan global yang jelas,” kata presiden Rusia itu.

Beliau memetik Sidang Kemuncak BRICS yang diadakan baru-baru ini di Kazan sebagai contoh, dengan berkata; “Ia adalah kemuncak kepengerusian Russia dan peristiwa penting dalam agenda politik global.”

Beliau berkata, Russia tidak berhasrat memulakan konfrontasi dan berharap Eropah akan mengambil pendekatan yang rasional dalam kerjasama dengan Moscow.

“Russia sentiasa komited terhadap kerjasama yang saling menguntungkan, tanpa konfrontasi. Saya percaya bahawa pendekatan yang rasional dan seimbang terhadap kerjasama dengan Russia akan kembali berlaku,” tegas presiden itu ketika berucap kepada duta, termasuk dari negara yang dianggap tidak mesra terhadap Russia.

“Dalam lipatan sejarah, hubungan antara negara anda dan Russia mempunyai asas yang kukuh, membabitkan kerjasama yang saling menguntungkan, pertukaran budaya yang kaya, dan kerjasama dalam menyelesaikan isu antarabangsa dan serantau yang mendesak,” kata Putin.

Sebelum pelantikan ini, Cheong adalah Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal Ehwal Pelbagai Hala di Kementerian Luar sejak 2021.

Beliau juga pernah berkhidmat di Hungary, Ghana, Hong Kong, China dan Amerika Syarikat.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini