Tumpuan :
Nasional

Duta Besar AS tertarik dengan Kelantan

Edgard D Kagan pada sesi temubual ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Pejabat Perpustakaan Dan Pengurusan Ilmu di American Corner Kampus Universit Malaysia Bachok (UMK) Kelantan. – FOTO: NSTP

BACHOK: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak di negara ini bagi membantu mempromosikan budaya Malaysia termasuk Kelantan ke peringkat lebih tinggi.

Duta Besar Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, Edgard D Kagan, berkata menerusi Dana Pemeliharaan Duta yang diperuntukkan di negara ini, ia banyak memberi impak positif selain maklum balas yang baik daripada masyarakat.

Katanya, Malaysia mempunyai kepelbagaian khazanah semula jadi, sejarah dan budaya yang unik dan boleh diketengahkan.

“Ini lawatan pertama saya di Kelantan selama dua hari bermula semalam sejak saya menjadi Duta Besar AS di Malaysia. Bagi saya penting mana-mana duta untuk mengunjungi negeri luar daripada ibu negara.

“Sepanjang dua hari, banyak lokasi yang saya lawati termasuk di Kampung Laut, Tumpat, Pasar Siti Khadijah, pusat mencanting batik, masjid, Carigali Hess di Tok Bali serta singgah di beberapa kedai makan.

“Pada masa sama, saya juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Timbalannya, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan di pejabatnya.

Kunjungan ini juga mampu mengeratkan hubungan AS dengan Kelantan.

“Walaupun saya tidak mampu mengunjungi semua lokasi pada lawatan ini, namun apa yang saya boleh katakan Kelantan sangat menarik dari segi lokasi, budaya, makanan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH selepas melawat American Corner di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, di sini, hari ini.

Katanya, lawatannya ke Kelantan itu sangat bermakna kerana mampu menyelami budaya di negeri itu lebih dekat.

Malah katanya, peruntukan RM1.1 juta yang diperuntukkan oleh kedutaan AS bagi 11 projek pemuliharaan kebudayaan di Malaysia sejak 2001 itu sudah memberi impak positif dalam memelihara budaya dan identiti negara ini.

“Kami percaya jika berjaya membantu rakyat Malaysia memelihara elemen penting budaya dan identiti negara ini, ia akan menyokong matlamat kami untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang kekal bebas, makmur, selamat dan berjaya.

“Sebagai contoh projek pemuliharaan rebana kercing di Kelantan, bukan sahaja untuk memelihara kemahiran pembuatan rebana sebaliknya lebih penting untuk memelihara nilai dan maksud di sebalik persembahan.

“Malah, ramai yang berterima kasih kepada kami dengan mengatakan rebana kercing sangat penting untuk identiti Kelantan dan ianya semakin dilupai.

“Semua ini membantu kami memahami apa yang berlaku di Malaysia termasuk di Kelantan dan ia membantu tugas kami sebagai diplomat,” katanya yang turut memaklumkan nasi kerabu dan ayam percik antara makanan yang disukainya sepanjang di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini