KUALA LUMPUR : Donald Trump dijangka melaksana pendekatan baharu dalam pentadbirannya, terutama dalam memupuk keamanan dan kemakmuran serantau, di samping terus memperkukuh hubungan perdagangan sedia ada.
Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D Kagan berkata, perubahan dalam gaya pentadbiran itu acap kali berlaku, setiap kali pemimpin negara bertukar.
“Semasa pentadbiran Trump sebelum ini, asasnya ialah kemakmuran, keselamatan dan kedudukan global banyak dipengaruhi oleh perkembangan di Indo Pasifik dan terdapat juga komitmen untuk memastikan perdagangan kukuh yang berterusan serta adil.
“Saya percaya kita boleh menjangkakan untuk melihat perkara ini (pendekatan baharu) dalam penggal pentadbirannya,” katanya ditemui media selepas program Dialog Meja Bulat Naib Canselor Malaysia – AS : Kerjasama Pendidikan Tinggi di sini, hari ini.
Program itu disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dimana turut dihadiri Naib Canselor dari beberapa universiti awam dan swasta tempatan.
Mengulas lanjut, Kagan berkata, apa juga pendekatan baru dalam penggal pentadbiran Trump, ia akan mula disaksikan orang ramai selepas pemimpin itu mengangkat sumpah jawatan kelak.
Trump yang juga calon Republikan semalam melepasi 270 undi badan perwakilan pemilih yang diperlukan untuk memenangi pilihan raya presiden AS 2024 dan kembali ke Rumah Putih.
Beliau menewaskan pencabarnya dari parti Demokrat, Kamala Harris serta memenangi undian di negeri-negeri penentu termasuk North Carolina, Georgia, Pennsylvania dan Wisconsin serta negeri lain seperti Indiana, Kentucky, West Virginia, Florida, Tennessee, South Carolina, Oklahoma, Mississippi, Alabama, Arkansas, North Dakota, South Dakota, Wyoming, Nebraska, Louisiana, Ohio, Texas, Missouri, Utah, Montana, Kansas, Iowa dan Idaho.
Trump pertama kali dipilih sebagai Presiden pada 2016, menewaskan bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton.
Sementara itu, ditanya mengenai komitmen pentadbiran baharu AS dalam menghentikan konflik di Gaza, khususnya pembunuhan terhadap orang awam, Kagan optimis ia akan dijayakan kelak.
“Saya percaya akan ada pentadbiran dan pendekatan yang berbeza, kerana kita sudah lama mahu, bahawa gencatan senjata adalah kritikal (amat diperlukan),” katanya.
Kelmarin, media antarabangsa melaporkan, jumlah keseluruhan korban di Gaza sejak konflik Oktober tahun lalu sudah mencecah 43,374 orang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.