comscore
Tumpuan :
Nasional

Dusuki akur aset TH tidak dijual kepada bukan Islam – Mujahid

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan episod fitnah berhubung aset Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada orang bukan Islam, tamat.

Menerusi hantaran di Facebook, katanya, ia susulan tindakan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani yang menarik balik rayuannya berhubung saman fitnah terhadap beliau di Mahkamah Rayuan Putrajaya, Isnin lalu.

“Dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuan, maka berakhirlah sudah episod fitnah yang sekian lama diputarkan Dusuki dan pihak PAS sejak sekian lama khususnya ketika saya menjadi Menteri Agama bahawa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam,” katanya.

Rayuan Ahmad Dusuki itu berhubung saman fitnah difailkan terhadap Mujahid berhubung isu di sebalik penjualan aset TH dan berkaitan ciapannya berbunyi “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Susulan penarikan balik rayuan itu pada Isnin lalu, Ahmad Dusuki diperintahkan membayar kos RM5,000.

Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini menolak saman fitnah itu dengan kos RM11,000 sebelum penceramah bebas itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Dusuki kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi turut menolak rayuan berkenaan dengan kos RM7,000.

Mujahid berkata, ketika Mahkamah Sesyen menolak Saman Dusuki terhadapnya, mahkamah mengesahkan bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada bukan Islam.

Di peringkat Mahkamah Tinggi pula, katanya, rayuan Dusuki sekali lagi ditolak dengan mahkamah bahawa ciapan beliau itu mempunyai justifikasi kerana tindak balas terhadap kenyataan Dusuki.

“Terdapat penjelasan dibuat di Parlimen oleh bekas perdana menteri bahawa aset TH yang kurang berdaya saing dipindahkan kepada sebuah sebuah syarikat tujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

“Kini, dengan tindakan Dusuki yang telah menarik balik rayuannya itu, membuktikan Dusuki akhirnya telah akur bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.

“Saya bersyukur kerana akhirnya nama saya telah dibersihkan… semoga dengan ini, semua fitnah yang sekian lama berlegar berkenaan isu Tabung Haji ini berakhir,” katanya.

Loading...
Terkini