
Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru dunia Islam memperkukuh kecemerlangan ilmu sebagai alat untuk membawa perubahan kepada masyarakat.
Matlamat ini katanya, bukan hanya dengan menumpukan kepada kecemerlangan akademik tetapi juga berdasarkan nilai dan tanggungjawab sosial.
Ini berikutan dunia Islam masih ketinggalan kerana kurang memberi tumpuan kepada pendidikan, teknologi dan kekuatan ekonomi.
“Semua ini kerana adanya defisit kepercayaan. Kita tidak lagi percaya pada perjuangan, pengorbanan, dan sumbangan yang sebenar. Kita melihat ramai pemimpin yang mengumpul kekayaan di luar batas kemampuan mereka.
“Jika dunia mengikut peraturan, tidak akan ada penindasan, penjajahan, eksploitasi, dan penghinaan seperti yang kita lihat di Gaza dan Palestin,” katanya.
Perdana Menteri menambah, cabaran utama adalah bagaimana generasi muda Islam perlu dididik lebih baik daripada generasi terdahulu untuk membawa perubahan kepada masyarakat, negara dan dunia.
Maklumat, ilmu dan kebijaksaan juga katanya perlu diberikan keutamaan tanpa meninggalkan soal adab dan akhlak.
“Golongan pelajar menjadi pemacu kepada perubahan masyarakat antarabangsa bagi menghentikan perbalahan sesama sendiri. Anda mempunyai tanggungjawab besar di hadapan.
“Apa yang kita lihat adalah dunia Islam tidak berdaya. Pengeboman setiap hari, boleh bunuh sebanyak mana kanak-kanak yang mereka mahu, tetapi tidak banyak yang berubah. Kenapa? Kerana kita miskin,” tegasnya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Pelajar Albukhary International University (AIU) di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Naib Canselor AIU, Professor Datuk Ir Mohd Saleh Jaafar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.