
PORT DICKSON: “Kalau tak sembuh sepenuhnya pun, saya sekeluarga harap ayah boleh bercakap kerana rindu nak bersembang dengannya macam dulu.”
Itu harapan Muhammad Badran Norazizi, 35, ketika menceritakan pengalaman pertamanya menyambut Ramadan dalam keadaan bapanya, Norazizi Nordin, 62, terlantar sakit selepas mengalami pendarahan dalam otak akibat jatuh.
Biarpun sedih, Muhammad Badran tiada pilihan melainkan akur dengan ketentuan selain menjalankan tanggungjawab menjaga bapanya dengan bantuan tiga adik-beradik yang lain.
Bercerita lanjut, Muhammad Badran berkata, bapanya terlantar selepas jatuh tersembam ketika turun daripada lori pada akhir Oktober lalu.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika bapanya berhenti berehat di satu kawasan selepas menghantar barangan di Seberang Perai, Pulau Pinang.
“Ayah pemandu lori dan hari itu, dia sampai ke Pulau Pinang jam 2 pagi, sempat tidur sebelum terjatuh ketika nak turun daripada lori untuk solat Subuh.
“Mujur adik ikut ayah waktu itu jadi dia yang bantu uruskan hal pendaftaran masuk ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang sementara kami sekeluarga datang.
“Ayah alami pendarahan dalam otak dan menjalani pembedahan tempurung kepala. Sebulan juga ayah di hospital berkenaan dengan minggu pertama di unit rawatan rapi (ICU). Bulan berikutnya, ayah dipindahkan ke wad biasa di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban, Negeri Sembilan sehingga awal Januari lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Muhammad Badran berkata, bapanya mengalami luka ‘bedsore’ di belakang badan pada awalnya kerana terlantar terlalu lama.
Keadaan itu menyebabkannya mengambil masa untuk belajar menguruskan bapanya kerana tiada pengalaman menjaga ahli keluarga sakit terlantar.
Sebagai anak, Muhammad Badran puas kerana berpeluang menjaga dan melihat sendiri perkembangan bapa di depan mata.
“Saya dapat tengok bagaimana luka yang dulu teruk tapi kini hampir pulih jadi lama kelamaan dapat terima ujian dengan lapang dada.
“Lagipun, dulu ayah yang jaga saya waktu kecil dan banyak beri tunjuk ajar. Kini ayah mengajar saya bagaimana menjaga orang sakit.
“Emak masih ada tapi saya dengan adik-beradik tak nak susahkannya jadi bergilir-gilir jaga ayah,” katanya.
Muhammad Badran yang bekerja sebagai jurujual alat ganti kereta berkata, dia sekeluarga menggunakan wang simpanan yang ada untuk menampung perbelanjaan buat bapanya.
“Emak pun pandai masak dan hasilkan produk daun kesum goreng jadi saya dengan adik-beradik bantu jua kerana perlu duit nak beli keperluan ayah.
“Alhamdulillah, ada yang beli dan saya ada juga buat siaran langsung di TikTok… ramai sangat doakan ayah.
“Terima kasih saya ucapkan dan hanya mampu ikhtiar dengan menjaga serta berdoa supaya ada keajaiban buat ayah,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 155041796361 atas nama Muhammad Badran Norazizi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.