comscore
Tumpuan :
Nasional

Duit syiling peringatan sempena pertabalan Agong, tempahan mulai hari ini hingga 13 Oktober

Bahagian hadapan reka bentuk duit syiling peringatan.

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim pada 20 Julai lalu.

Berdasarkan kenyataan BNM, duit syiling peringatan itu dikeluarkan dalam tiga denominasi iaitu duit syiling peringatan emas, perak sterling dan Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.).

“Duit syiling emas diperbuat daripada emas dengan ketulenan 999.9 dan seberat lapan gram sekeping.

“Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 yang akan dijual pada harga RM3,250 sekeping dan sejumlah 300 keping sudah ditempa.

“Duit syiling perak sterling pula diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 seberat 31 gram sekeping.

“Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping dengan 1,300 keping sudah ditempa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, duit syiling emas Nordic B.U pula diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain seberat 8.5 gram sekeping.

“Nilai muka duit syiling ini RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping sudah ditempa.

“Duit syiling peringatan ini juga dijual set dua dalam satu mengandungi sekeping duit syiling perak sterling dan sekeping duit syiling emas Nordic. Harga jualan setiap set ialah RM330 dengan sejumlah 1,300 set tersedia untuk pembelian,” katanya.

Duit syiling ini unik kerana tulisan ‘Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII’ tertera pada sekeliling bahagian atas duit itu, manakala nama BNM sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan dipaparkan pada sekeliling bahagian bawah duit syiling.

BNM berkata, bagi memberi peluang saksama kepada orang ramai membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu set dua dalam satu, sekeping duit syiling emas, sekeping duit syiling perak sterling dan tidak lebih lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

“Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai jam 11 pagi ini hingga jam 11 malam 13 Oktober ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM saja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain.

“Jika tempahan diterima melebihi jumlah ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini