KOTA BHARU: Seorang guru lelaki kehilangan wang simpanannya berjumlah RM259,000 angkara sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata pada 26 Oktober lalu, mangsa yang berusia 53 tahun dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri kononnya dari Pusat Respons Scam Kebangsaan.
Mangsa kemudian dihubungi seorang individu mendakwa konon dirinya adalah pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Ipoh dan menuduh mangsa terbabit pengubahan wang haram.
“Mangsa diminta memindahkan semua wangnya ke dalam dua akaun yang diberikan suspek.
“Disebabkan percaya dan takut, mangsa membuat pemindahan semua wang ke dalam dua akaun bank yang didakwa kononnya dimiliki oleh juruaudit Bank Negara untuk tujuan audit forensik.
“Mangsa membuat 10 transaksi berjumlah RM259,000 antara 30 Oktober hingga 8 November lalu.
“Bagaimanapun, mangsa menyedari diri ditipu selepas wang miliknya tidak dikembalikan sebagaimana dijanjikan suspek. Mangsa tampil membuat laporan polis kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Mohd Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.