Oleh Zharif Zhafri Aziz
KUALA LUMPUR: Lebih seribu individu menjadi mangsa penipuan Skim Saving Sapiza yang menjanjikan pulangan lumayan antara 10 hingga 60 peratus daripada wang yang dilaburkan.
Menjalankan aktiviti itu sejak 2015, kerugian didakwa mangsa mencecah kira-kira 50 juta ringgit.
Skim berkenaan muka bertapak di Johor sejak lapan tahun lalu memperdaya mangsa terdiri daripada penjawat awam, golongan profesional dan suri rumah.
Setiap seorang mengalami kerugian antara lima ribu hingga 200 ribu ringgit.
“Kita bayar modal contoh RM1,000, kadang-kadang ada ikat dua bulan sebulan tetapi dia ada extra. Saya tanya mana datang extra itu. Dia kata extra berpunca dari ganti.”
“Ganti pemain yang sertai jumlah besar tiba-tiba tidak boleh teruskan jadi dia berhenti. Jadi peratusan yang pemain itu dah bayar adalah extra kepada yang ganti.”
“Contoh saya dapat atau dibagi kepada pemain lain. Contoh saya sertai sebulan RM1,000, saya dapat extra RM250.” kata Mas, penjawat awam.
Dakwa mereka, pengiklanan skim kutu itu dibuat setiap bulan dan pembayaran dilakukan secara dalam talian.
Berdasarkan iklan yang dikongsikan, pemain dikehendaki membayar untuk dua bulan sahaja.
Misalnya, sekiranya pemain membayar RM2,500 pada bulan Jun dan Julai, mangsa akan mendapat RM6,000 termasuk extra RM1,000 pada bulan Ogos.
Lagi banyak wang yang dilaburkan, lagi banyak ‘extra’ dijanjikan kepada mereka.
Bagi seorang mangsa yang mahu dikenali Aminah, 28 tahun, dia mengalami kerugian lebih RM100,000 akibat tertarik dengan ajakan kenalannya.
“Kita anggap main kutu dengan mak-mak untuk kumpul beli barang semua sebab dia orang yang kita kenal, bukan macam kita nak melabur untuk orang luar ke memang tak lah.”
“Tetapi disebabkan oleh yang orang kita sangat kenal. Siap cakap kau tak percaya aku ke, apa-apa jadi kau cari la aku, tetapi bila masa jadi, aku tiada duit nak bayar kau. Memang tak sangka.” kata Aminah, bekas jururawat swasta.
Bertindak atas prihatin, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) menggesa dalang permainan kutu dikenali sebagai Sapiza, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Kita menyarankan NFCC dan mana-mana agensi yang terlibat untuk menyiasat dan menuduh individu dan pihak terbabit dibawah 420 Kanun Keseksaan jenayah tipu, dan boleh juga pertuduhan dibuat dalam akta larangan kutu juga.”
“Tuduh dua sekali supaya lebih menakutkan pihak lain yg nak anjurkan program sedemikian pada masa akan datang.” kata Datuk Hishamuddin Hashim, Setiausaha Agung (MHO).
Sementara itu, Presiden MCCC, Tan Sri Musa Hassan yang juga bekas Ketua Polis Negara menggesa institusi perbankan memberikan kerjasama kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dengan melaporkan sebarang transaksi yang mencurigakan.
“Sekiranya pihak bank memberikan laporan secepat mungkin diatas transaksi yang mencurigakan kerana mereka kena hantar kepada bank negara. Jika ada, bank negara akan arah untuk bekukan akaun tu.”
“Ini tidak akan menyebabkan kerugian yang banyak kepada mangsa. tujuan kerjasama ini penting kepada bank dan polis supaya dapat cegah awal.” ujar Tan Sri Musa Hassan, Presiden (MCCC)
Difahamkan ibu kutu bersama tujuh ejennya ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, semalam, bagi membantu siasatan.