comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua wanita dipercayai keldai akaun sindiket penipuan ditahan

BALIK PULAU: Dua wanita yang dipercayai menjadi keldai akaun kepada dua sindiket penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM27,000 diberkas polis, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden Kamarul Rizal Jenal, berkata tangkapan ke atas kedua-dua wanita berusia 24 dan 44 tahun itu dibuat selepas mereka hadir di Balai Polis Bayan Lepas, bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita berusia 44 tahun itu menjadi keldai akaun sindiket penipuan membabitkan urusan pelaburan dalam talian yang tidak wujud melalui aplikasi telegram.

Manakala, wanita kedua pula berkaitan penipuan urusan pinjaman wang secara dalam talian sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM6,000.

Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan mengenai kesalahan menipu.

Keldai akaun ialah individu yang menyerahkan kad ATM serta nombor pin kad itu kepada individu lain dan akaun itu pula digunakan bagi tujuan jenayah.

Dalam pada itu, Kamarul Rizal berkata, polis menyita empat motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, di samping mengeluarkan 34 saman kerana pelbagai kesalahan trafik dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan sekitar Bayan Lepas awal pagi tadi. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini