comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua sahabat keluar benih, bantu penternak ikan

KUANTAN: Kekurangan benih ikan tilapia merah dan patin yang berlaku di negeri ini sejak tahun lalu mendorong dua sahabat, Muhammad Azri Shariff, 26 dan Jamri Ahmad, 55 tampil menceburi bidang akuakultur secara komersil.

Keikhlasan yang muncul dihati dua individu terbabit mencetuskan kejayaan mengusahakan pusat pembenihan dua spesies ikan air tawar itu di Kampung Sri Fajar, Gambang, dekat sini.

Kini terdapat 10 kolam tanah, empat tangki penetasan dan tujuh kolam simen di kawasan seluas lebih 0.81 hektar.

“Saya berpengalaman selama tujuh tahun dalam bidang akuakultur, berbekalkan keyakinan yang menebal dan sokongan rakan kongsi (Jamri) kami nekad membuka pusat pembenihan yang mampu membekalkan lebih 150,000 benih patin dan tilapia merah termasuk keli sebulan.

“Permintaan terhadap benih patin tidak mencukupi, faktor berkenaan menyebabkan ramai penternak ikan sangkar di Temerloh, Pekan dan Jerantut terpaksa menangguhkan sementara projek ternakan mereka. “Pusat pengeluaran benih kami tidak mampu menghasilkan lebih banyak benih patin dan tilapia merah disebabkan kawasan yang terhad,” katanya.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), berkata pembiakan keli dan patin menggunakan kaedah aruhan sementara tilapia merah secara semula jadi dalam kolam tanah.

Muhammad Azri berkata, dia menjual benih patin, tilapia merah dan keli dengan harga antara 15 sen hingga 42 sen mengikut saiz antara dua hingga empat inci.

Permintaan benih kini tidak mencukupi terutama patin dan tilapia merah.

Katanya, benih yang dihasilkan kini hanya mampu memenuhi permintaan daripada beberapa penternak ikan sangkar di daerah ini, Pekan dan Maran.

Setiap penternak membeli benih sehingga 20,000 ekor bergantung pada jumlah sangkar.

“Kebanyakan penternak ikan sangkar di negeri ini bergantung sepenuhnya pada pusat pembenihan di Perak bagi mendapatkan bekalan benih patin dan tilapia merah, apabila pengeluaran benih tidak mencukupi akibatnya penternak yang rugi.

“Di Pahang tidak banyak pusat pembenihan yang mampu mengeluarkan benih berskala besar, faktor berkenaan menyebabkan penternak terpaksa membeli benih di Perak,” katanya yang sebelum ini bertugas sebagai pembantu penyelidik akuakultur di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan.

Bagi Jamri, dia mensasarkan untuk mengeluarkan 200,000 hingga 250,000 benih patih sebulan bagi memenuhi permintaan, namun disebabkan kawasan pusat pembenihan yang terhad dia terpaksa memikirkan kaedah yang terbaik.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat membantu dengan menyediakankawasan sesuai untuk dijadikan pusat pembiakan yang akan membekalkan pelbagai benih ikan air tawar bagi menampung permintaan penternak ikan sangkar di Pahang.

“Pahang kini muncul sebagai pengeluar ikan air tawar yang tertinggi di negara ini, dalam masa sama penternak ikan sangkar bergantung sepenuhnya pada benih dari Perak,” katanya yang berharap kerajaan negeri dapat membantu pihak yang mengusahakan pusat pembenihan.

Tambahnya lagi, tidak mustahil suatu hari nanti industri ikan air tawar di Pahang akan berkubur sekiranya tiada usaha dilakukan kerajaan dalam membantu pihak yang terbabit sebagai pengeluar benih ikan air tawar.

Loading...
Terkini