comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua remaja korban pertama banjir Johor

 

KOTA TINGGI: Dua remaja menjadi korban pertama banjir di Johor selepas ditemukan lemas dalam parit, di Kampung Perpat, Kuala Sedeli, tengah hari tadi.

Kedua-dua mangsa masing-masing berumur 15 dan 18 tahun dilaporkan mandi manda bersama beberapa rakan dalam sebuah parit yang dipenuhi air banjir.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kedua-dua mangsa pada mulanya cuba diselamatkan rakan yang lain dengan pertolongan penduduk kampung.

“Usaha mencari mangsa oleh penduduk gagal kerana dihanyutkan arus dan kedua-dua mangsa hanya ditemui setelah lemas,” katanya.

Ujarnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya mangsa banjir agar lebih berhati-hati dan tidak bermain air banjir kerana boleh mengundang bahaya.

Ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau pergerakan anak-anak mereka.

Kota Tinggi menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 4,479 orang mangsa ditempatkan di 24 PPS.

Manakala daerah Batu Pahat menjadi daerah terbaharu dilanda banjir.

Loading...
Terkini