comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua remaja gagal dikesan sejak sebulan, dikhuatiri ditipu sindiket di Taiwan

KUALA LUMPUR: “Saya rindu dan bimbang anak tunggal saya, sehingga kini tiada khabar berita mengenainya.

“Saya tak sangka percutiannya ke Taiwan berakhir dengan perkara menyedihkan seperti ini,” kata ibu tunggal Chow Wan Ying.

Chow, 51, adalah ibu kepada remaja lelaki, Yeh Zhi Wei, 18, dari Johor Bharu yang didakwa kini berada dalam tahanan pihak berkuasa di Taiwan sejak bulan lalu.

Selain Yeh, seorang lagi remaja, Dylan How Chen Hou, 18, dari Kuala Lumpur turut didakwa berada dalam tahanan pihak berkuasa negara berkenaan atas kesalahan jenayah meminta wang untuk sindiket penipuan di Taiwan.

Chow berkata, anak tunggalnya, Yeh bercuti selama empat hari di Taiwan bersama seorang rakan dikenali sebagai Ah Hu pada 19 Oktober lalu dan mengakui dia tidak mengenali rakan anaknya itu.

“Sepanjang berada di sana anak tidak pernah cerita kalau dia mahu bekerja atau dipaksa bekerja.

“Dia ke sana memang mahu bercuti dan kami selalu berkongsi cerita di WhatsApp namun kali terakhir kami berhubung pada 21 Oktober.

“Pada 27 Oktober saya terima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa rakan anak dan beritahu anak dipaksa bekerja di sana sebelum keesokan dua lelaki datang ke rumah minta RM500,000 dalam tempoh dua minggu jika mahu anak selamat dan turut mengancam nyawanya.

“Ah Hu pulang sendirian tanpa anak saya pada 28 Oktober lalu dan saya hanya tahu mengenai perkara itu daripada seorang lagi rakan anak sebelum cuba menghubunginya.

“Dia enggan berjumpa saya dan memberitahu anak saya ditahan pihak berkuasa di sana tetapi mendakwa dia tidak tahu anak ditahan sebab apa,” katanya memberitahu dia sepatutnya bercuti bersama anak di Taiwan namun tidak dapat pergi kerana tidak dapat cuti.

Chow ditemui pada sidang media bersama Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Datuk Seri Michael Chong di Menara MCA, di sini, hari ini.

Dipercayai kehilangan kedua-dua remaja itu membabitkan sindiket penipuan dan difahamkan mereka ditawarkan pekerjaan sebagai pemandu iaitu menjadi individu yang bertindak mengambil wang untuk sindiket penipuan.

Bagaimanapun setakat ini belum dapat dipastikan jika kehilangan kedua-dua remaja itu membabitkan pihak atau sindiket yang sama.

Menurut Chow, dia kini terlalu bimbang hingga hilang selera makan memikirkan keselamatan anaknya dan turut berharap pihak berkenaan dapat membantu mengesan dan membawa pulang anak kesayangannya dalam masa terdekat.

Sementara itu, bapa Dylan, How Kok Wah, 44, turut meminta bantuan bagi mengesahkan anaknya yang didakwa berada di Pusat Tahanan Kao Hsiung, Taiwan.

Katanya, anaknya itu tinggal berasingan dengannya sejak tahun lalu namun anak pulang ke rumah setiap dua hingga tiga minggu pada hari cutinya sebelum gagal dihubungi sejak 4 Oktober lalu.

Semakan yang dibuat melalui Jabatan Imigresen Malaysia mendapat remaja itu sudah meninggalkan negara pada 30 September lalu.

“Saya berusaha menghubungi rakan anak dan seorang rakan anak memberitahu Dylan kini ditahan di Pusat Tahanan Kao Hsiung,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini