comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua remaja dikhuatiri lemas selepas dibawa arus deras

Operasi SAR dua remaja dibawa arus deras Sungai Rejang ketika mandi, petang semalam. – FOTO: NSTP

SIBU: Dua remaja lelaki dikhuatiri lemas dibawa arus deras ketika mandi di Sungai Rejang, petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 15 tahun bersama seorang lagi rakan dikatakan mandi di sungai terbabit sekitar jam 5 petang.

Katanya, mangsa yang dikenali sebagai Justin Siaw dan Kong Wei Seng dikatakan dibawa arus deras ke dasar sungai secara tiba-tiba.

“Mereka dikatakan tenggelam pada jarak 10 meter dari jeti lokasi mereka mandi,” katanya di sini, malam ini.

Beliau berkata, rakan mangsa yang turut mandi di sungai berkenaan terselamat.

Sejurus menerima makluman kejadian pada jam 5.34 petang, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Jaya bergerak ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR).

Bagaimanapun, operasi dihentikan atas faktor keselamatan dan cuaca beransur gelap.

Operasi SAR hari ini turut menggunakan khidmat dua anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada jam 2.13 petang di kawasan 10 meter persegi dari mangsa dilaporkan tenggelam, namun masih gagal menemui mangsa.

Atas faktor keselamatan, usaha pencarian di hari kedua ini ditangguhkan pada jam 5.34 petang dan akan disambung hari esok.

Loading...
Terkini