IPOH: Dua remaja lelaki cedera akibat terkena serpihan runtuhan bangunan sebuah pasar raya besar di Manjoi, di sini, hari ini.
Mangsa yang berusia 13 dan 14 tahun itu ketika kejadian sedang menunggang motosikal melalui kawasan terbabit..
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 4.45 petang.
“Runtuhan membabitkan dinding sebelah kanan bangunan pasar raya dan membabitkan sebuah motosikal yang sedang melalui jalan bersebelahan pasar raya itu.
“Dua mangsa yang menunggang motosikal melalui kawasan berkenaan cedera ringan akibat terkena serpihan batu bata runtuhan.“Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, operasi ditamatkan jam 5.32 petang.
Pada 10 Mac lalu, pasar raya besar itu dilaporkan terbakar yang membabitkan bilik suis utama di tingkat atas pasar raya.
Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bumbung dan tingkat satu yang menempatkan pakaian, barangan elektrik dan stor barangan selain berlaku runtuhan dinding pada bahagian kanan premis.
Bagaimanapun siasatan dijalankan tidak menemui sebarang unsur pembakaran sengaja yang boleh dikaitkan dengan jenayah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa