KOTA TINGGI: Dua remaja lelaki maut selepas motosikal Yamaha Y15 ZR ditunggang masing-masing, bertembung di jalan utama FELDA Air Tawar 4, malam tadi.
Dalam nahas kira-kira jam 8.40 malam itu, kedua-dua remaja lelaki yang berusia 17 tahun dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati seorang daripada mangsa sedang dari FELDA Air Tawar 4 menghala FELDA Air Tawar 5 ketika nahas berkenaan.
“Motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung sebuah lagi motosikal jenis sama dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan ini, kedua-dua mangsa parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam turut menasihatkan supaya lebih peka dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi memastikan keselamatan bersama.
Terdahulu, tular perkongsian di Facebook Orang Kota Tinggi berhubung kemalangan maut di lokasi berkenaan, termasuk komen mendakwa kawasan itu sudah beberapa hari bergelap akibat lampu jalan tidak berfungsi.