Tumpuan :
Nasional

Dua rakyat Malaysia ditahan di Guantanamo tiba di tanah air hari ini – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima dua rakyat Malaysia yang diserahkan Amerika Syarikat (AS) dari tahanan Kem Guantanamo, Cuba, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep tiba di tanah air hari ini dan akan menjalani proses pemulihan terlebih dahulu sebelum kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Mereka tiba di Malaysia hari ini. Kedua-dua individu ini diterima dalam keadaan baik dan sihat. Mereka sangat bersyukur dapat kembali ke tanah air dan akhirnya dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

“Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengarahkan supaya mereka menjalani proses penilaian dan seterusnya memasuki fasa pemulihan secara komprehensif sebelum direintegrasi ke dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razarudin berkata kedua-dua mereka mempamerkan sikap yang positif dan terbuka untuk dinilai dan dipulihkan serta menyatakan komitmen tinggi untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang progresif.

“Semua orang berhak mempunyai peluang kedua dan PDRM akan memastikan mereka berjaya mencapai peluang itu,” katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam kenyataan hari ini, memaklumkan AS menyerahkan Mohammed Nazir dan Mohammed Farik.

Penyerahan itu, katanya dibuat atas prinsip hak asasi manusia dan dukungan keadilan sejagat.

Kedua-dua mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS sebelum dipindahkan ke kem tahanan itu pada 2006.

Mohammed Nazir dan Mohammed Farik berdepan lapan tuduhan di Mahkamah Tentera AS, termasuk tujuh berkaitan pengeboman berkembar yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di Hotel JW Marriott di Jakarta, pada Ogos 2003.

Juri terdiri lima pegawai tentera AS itu bersidang untuk memutuskan hukuman untuk tempoh 20 hingga 25 tahun.

Kedua-dua mereka kemudian dijatuhi hukuman penjara 23 tahun dan boleh dibebaskan menjelang 2029.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini