Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Malaysia telah menerima dua rakyatnya yang berada dalam tahanan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba selama 18 tahun dari Kerajaan Amerika Syarikat.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan hari ini.
“Kerajaan Perpaduan Malaysia MADANI atas prinsip hak asasi manusia dan dukungan keadilan sejagat telah menerima dua orang warga Malaysia, Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep, yang diserah oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS) selepas ditahan sejak tahun 2006 di Kem Tahanan Guantanamo Bay,” katanya.
Jelasnya, kerajaan telah merangka suatu program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk kedua-dua individu berkenaan.
Program tersebut merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan, kebajikan dan saringan kesihatan.
“Kementerian Dalam Negeri merakam ucapan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam menyempurnakan proses penyerahan kedua-dua warga Malaysia ini,” katanya.
Pada September tahun lalu, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempercepatkan usaha membawa pulang dua warga Malaysia tersebut.
Perkara itu dibincangkan beliau dalam pertemuan dengan Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow, di New York, AS.
Mohammed Farik, 48 dan Mohammed Nazir, 47, ditahan di Thailand pada 2003 kerana mempunyai kaitan dengan insiden pengeboman pengganas yang mengorbankan 202 orang di Bali, Indonesia pada 2002.
Pada Oktober lalu, The New York Times melaporkan Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo untuk tuduhan bersubahat dalam serangan pengganas di Bali, dan dengan itu memisahkan mereka daripada kes Hambali.
Dalam pengakuan bersalah, kedua-dua mereka bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Hambali, bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah dan merupakan dalang di sebalik pengeboman maut Bali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.