Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
HULU DUNGUN: Dua lelaki ditemui lemas di Lubuk Kain, Kampung Shukor, di sini dalam kejadian jam 12.15 tengahari tadi.
Mangsa dikenali sebagai, Muhammad Danial Danish Kamal dan Nor Mokhriz Nor Mohamad, masing-masing berusia 20 tahun dari Kuantan, Pahang.
Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama lima rakan lain tiba di Lubuk Kain, Kampung Shukor, dari Kuantan jam 10.00 pagi.
Mangsa mula mendaki ke air terjun yang mana jarak dari bawah air setinggi 50 meter.
Jam 12.15 tengahari, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan terjun dari batu ke jeram setinggi 3.5 meter sebelum lemas.
Seorang daripadanya berjaya diselamatkan, manakala Muhammad Danial dan Nor Mukhriz tidak timbul dan dipercayai tenggelam ke dasar sungai.
Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Almuktafi Billah Shah bersama orang kampung berjaya menemui kedua-dua mangsa di kedalaman 10 meter.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.