comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua pesakit kencing tikus di Baling stabil

ALOR SETAR: Dua pengunjung yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di negeri ini disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus selepas berkunjung ke Taman Eko Rimba Lata Bayu, Baling dilaporkan stabil.

Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mansor Zakaria berkata pihaknya juga tidak menerima maklumat mengenai mangsa baharu setakat ini.

Hutan lipur Lata Bayu di Baling ditutup sementara selepas dua pengunjung disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus.

“Saya menasihatkan agar pengunjung yang berkelah di pusat peranginan dan mempunyai simptom penyakit berkenaan segera mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berhampiran kerana ia boleh menyelamatkan nyawa mereka.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak berkunjung ke Lata Bayu yang kini ditutup sementara waktu, sejak 17 Jun lalu,” katanya ketika dihubungi.

Mansor berkata, sampel air di kawasan terbabit sudah diambil pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKN) semalam untuk siasatan lanjut.

Katanya, pusat peranginan itu ditutup sementara sehingga satu tarikh dimaklumkan kelak.

“Buat masa ini, pihak kita juga tidak menerima laporan kes jangkitan kencing tikus di kawasan pusat peranginan lain di sekitar negeri ini,” katanya.

Semalam, dilaporkan Taman Eko Rimba Lata Bayu di Baling ditutup sementara selepas dua pengunjung disyaki dijangkiti penyakit kencing tikus selepas berkunjung ke pusat peranginan itu.

Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya berkata, kes jangkitan membabitkan dua mangsa dirawat di ICU sebuah hospital di Kedah itu dilaporkan Pejabat Kesihatan Daerah Baling.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, Jabatan Perhutanan Kedah mengeluarkan arahan penutupan sementara bagi siasatan kes dan aktiviti pencegahan seterusnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini