Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua penuntut Kolej Kemahiran mati lemas ketika mandi di air terjun

 

HULU DUNGUN: Keseronokan sekumpulan penuntut kolej berkelah dan mandi manda di kawasan rekreasi air terjun Lubuk Kain di sini bertukar tragedi apabila dua daripadanya ditemukan lemas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi, mangsa dikenali sebagai Ahmad Syahid Hamdan yang berasal dari Kampung Tok jembal, Seberang Takir, Kuala Terengganu dan Muhammad Ridhwan Zawawi, dari Kampung Tasik Masjid, Bukit Payong, Marang.

Masing-masing yang berumur 19 tahun ditemui di dasar air terjun pada jam 12.08 dan 12.15 tengahari.

Kedua-dua mangsa merupakan pelajar semester dua Diploma Kejuruteraan Elektrikal di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman, datang ke kawasan perkelahan tersebut bersama enam belas lagi rakan sekuliahnya sempena cuti hujung minggu.

Menurut rakan mangsa yang juga saksi kejadian, Muhammad Falmie Hakimi Yahya, 19, dia bersama dua rakannya itu pergi ke kawasan tinggi yang terletak kira-kira 300 meter dari kumpulan rakannya yang mandi di tempat cetek.

“Kami datang berkelah untuk berehat sempena minggu belajar di mana kami semua akan mengambil peperiksaan semester dua minggu lagi.

“Sebelum kami mandi, kami semua sempat makan dahulu dan selepas makan saya dan mangsa naik ke air terjun yang ada di atas bukit tidak jauh dari tempat kami makan,”katanya.

Jelasnya, dia sempat melihat mereka terjun dari ketinggian kira-kira lima meter ke dalam air sebelum dimaklumkan oleh pengunjung lain yang kedua-dua rakannya itu tidak timbul.

“Terkejut juga la saya bila tahu yang dua kawan saya lemas tapi syukur saya tergerak hati tidak terjun kalau tidak saya turut jadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi berkata, mayat kedua-kedua mangsa dijumpai orang kampung yang kebetulan berada di lokasi kejadian sebelum pasukan keselamatan tiba.

Kedua-dua mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Proses bedah siasat selesai sepenuhnya pada jam 3.45 petang.

Kes diklasifikasikan sebagai mati lemas.

Loading...
Terkini