Tumpuan :
Nasional

Dua penjawat awam didakwa buat laporan palsu 

 

Foto: NSTP

KOTA BHARU: Dua penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat laporan palsu kepada anggota polis, dua bulan lepas.

Noor Ainiatun Mohd Anuar, 36, dan Mahadi Kadir, 49, membuat pengakuan itu dalam prosiding berasingan, selepas pertuduhan ke atas mereka masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri dan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, Noor Ainiatun didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Binjai di sini pada 10.46 malam, 9 Jan lepas, manakala Mahadi didakwa melakukan kesalahan sama di Balai Polis Kubang Kerian di sini pada jam 10.16 malam, hari yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes Noor Ainiatun dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid dan beliau diwakili peguam Ahmad Nurie Ab Rahman.

Pendakwaan kes Mahadi pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin dan diwakili peguam Muhammad Fiqri Muhamad.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 kepada Noor Ainiatun dan menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes, manakala bagi Mahadi, jaminan sebanyak RM3,000 dengan 28 Mei ini untuk sebutan kes.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini