Tumpuan :
Nasional

Dua pemancing hilang di Laut China Selatan

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Dua pemancing dilaporkan hilang selepas ke laut dengan bot nelayan sejak jam tujuh pagi semalam dari Jeti Nelayan Kampung Baru Beserah, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dua pemancing terbabit dilaporkan sepatutnya pulang jam enam petang semalam, namun sehingga kini gagal dikesan.

Menurutnya, pemancing yang juga nelayan dikenali sebagai Zakaria Ramli, 56, dan Zahari Sidek, 57.

Katanya, polis menerima laporan daripada sepupu salah seorang mangsa pada jam 11: 52 pagi tadi selepas kedua-duanya tidak pulang selepas ke laut.

“Pengadu menjelaskan kira-kira jam tiga petang semalam, rakannya ke laut untuk memancing terserampak dengan mangsa di lokasi unjan Bangka Latah dan unjan Jabur 2,”

“Jarak lokasi kali terakhir mangsa dilihat itu kira-kira lebih 47 kilometer daripada pantai,”

“Kedua-dua pemancing terbabit dilaporkan membawa alat navigasi peta Global Positioning System (GPS), memakai jaket keselamatan ketika keluar memancing ikan tetapi tidak membawa telefon bimbit.” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, berdasarkan maklumat lapan bot keluar memancing dan menangkap ikan di laut pagi semalam, dengan hanya tujuh bot telah kembali.

Katanya, enam bot nelayan telah ke lokasi kali terakhir dua pemancing terbabit dilihat kira-kira jam 7:30 pagi tadi, namun tidak menemui mangsa.

“Polis sudah menyalurkan maklumat mengenai kejadian itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan hebahan kepada nelayan ke laut untuk turut membantu mengesan mangsa.” katanya.

Operasi mengesan sedang dilakukan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini