Tumpuan :
Nasional

Dua pelajar politeknik maut rempuh treler

Anggota bomba mengeluarkan mangsa kemalangan. -Foto: ihsan Bomba

JEMPOL: Dua penuntut Politeknik Muadzam Shah, Pahang maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 33 Jalan Bahau – Keratong, 3.40 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang maut adalah pemandu kereta Perodua Axia, Chen Pui Xia, 22, dari Sungkai, Perak dan penumpang belakang, Norsyahira Rahmat, 23, dari Sepang, Selangor.

Katanya, penumpang hadapan yang juga penuntut politeknik sama, Nur Syafikah Shuib, 21, parah dan menerima rawatan di zon merah Hospital Jempol.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kereta dinaiki mangsa dari arah Bahau menuju Keratong masuk secara mengejut ke laluan treler dari arah Keratong menuju Bahau yang dipandu lelaki berusia 47 tahun.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan bertembung secara berdepan di laluan treler tanpa muatan itu,” katanya dalam kenyataannya, malam ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kereta dinaiki mangsa disewa dan ketiga-tiga mereka pergi ke Dengkil, Selangor dan dipercayai memandu secara bergilir-gilir.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini