comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua pelajar Palestin pilih UUM lanjut pengajian

Pasangan adik beradik dari Palestin Ruba Naim (dua dari kanan) dan Isam Naim (tiga dari kanan) berbual bersama Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan selepas mendaftar pengajian untuk sesi akademik 2024/2025.- Foto: NSTP

SINTOK: Konflik yang masih melanda Palestin tidak melemahkan semangat dua pelajar negera itu yang melanjutkan pengajian di
Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi meneruskan cita-cita mereka.

Ruba Naim, 21, berkata dia sebelum ini menuntut di Universiti Al-Azhar, Gaza, namun universiti itu musnah akibat dibom tentera Israel.

Susulan itu, dia bersama adiknynya Isam, 20, membuat keputusan datang ke Malaysia bagi menyambung pengajian dalam bidang Teknologi Maklumat (IT).

“Awal tahun lalu, rumah dan universiti kami di Gaza musnah dibom menyebabkan keluarga terpaksa lari ke Mesir. Selepas empat bulan di Mesir, saya dan adik memutuskan untuk menyambung pelajaran di Malaysia dan kami tiba di negara ini pada 2 September lalu.

“Di Gaza, kami berdepan dengan bom dan penganiayaan, manakala di Mesir kami tinggal di perkhemahan. Perbezaannya amat ketara, dan kami sangat seronok apabila tiba di sini.

“Saya sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan dan bersiap sedia untuk memulakan kembali pengajian yang tidak dapat saya teruskan di Gaza,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi Isam yang turut mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer menjelaskan, dia memilih UUM selepas bapanya, NY Naim mencadangkan universiti itu.

“Ayah memaklumkan kualiti dan kemudahan pendidikan di UUM sangat baik, selain suasana pembelajaran yang kondusif.

“Tambahan pula, UUM amat mengalu-alukan kedatangan pelajar asing khususnya warga Palestin,” katanya.

Ruba dan Isam antara 79 pelajar antarabangsa yang mendaftar sebagai mahasiswa di UUM hari ini, menyertai 4,195 pelajar, tempatan dan antarabangsa, merentasi 48 program sarjana muda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini