KUALA LUMPUR: Polis meminta saksi kemalangan langgar lari membabitkan motosikal ditunggang dua pelajar sekolah menengah dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 5.5 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah ke Shah Alam semalam, tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dalam kenyataan hari ini berkata, kemalangan menyebabkan kedua-dua pelajar terbabit cedera dengan seorang daripadanya parah.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika dua remaja perempuan berusia 16 tahun itu dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah mereka di Kampung Sri Aman, Puchong.
Kedua-dua mangsa adalah rakan sekelas di Sekolah Menengah Taman Puchong Permai.
“Sebaik tiba di KM 5.5 Lebuhraya ELITE, mereka yang menunggang motosikal jenis Honda RS-X dilanggar sebuah kenderaan lain disyaki sebuah lori dan kenderaan itu terus meninggalkan lokasi.
“Akibat kemalangan, penunggang motosikal cedera parah pada kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Klang, manakala pembonceng dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut,” katanya.
Wan Azlan berkata polis sedang mengenal pasti punca kejadian termasuk mengesan kenderaan lain yang terbabit dalam kejadian ini.
Beliau meminta kerjasama saksi yang melihat kemalangan atau mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan polis.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 0194642222.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.