Tumpuan :
Nasional

Dua pekerja warga asing ditemui mati di geladak kapal

Mayat kedua-dua mangsa sejurus berjaya dikeluarkan dari geladak bahagian bawah kapal di kawasan Jalan Bukit Lan, pagi tadi. – FOTO: NSTP

SIBU: Dua lelaki warga asing dipercayai pekerja kapal ditemui mati di bahagian geladak bawah kapal di kawasan Jalan Bukit Lan, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 23 dan 36 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Terdahulu, katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 10.30 pagi.

“Sejurus sampai di lokasi, pasukan bomba yang lengkap berpakaian sut perlindungan diri (PPE) mendapati dua mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruangan geladak bahagian bawah kapal berkenaan.

“Pasukan penyelamat kemudian membawa kedua-dua mangsa ke pintu utama kapal dan menggunakan khidmat jengkaut milik syarikat bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.

Jurucakap itu berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu bagi bedah siasat. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini