Tumpuan :
Nasional

Dua pasukan SMART telah mulakan tugas di ‘groud zero’

Foto FB SMART – Pasukan SMART sudah memulakan usaha menyelamat di Turkiye

PAPAR: Dua pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye telah berada di ‘ground zero’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan perkara terbabit.

“Kesemua pasukan kita ini seramai 140 orang telah berada di ‘ground zero’. Walaupun sebenarnya kita sampai di Turkiye dalam tempoh 24 jam namun ada sedikit masalah untuk sampai ke ‘ground zero’.

“Ini kerana ia melibatkan jarak cukup jauh dari Istanbul, terpaksa terbang ke Adana dan kemudiannya terpaksa melalui jalan darat melebihi 200 kilometer ke Gaziantep.

Foto FB SMART – Pasukan SMART sudah memulakan usaha menyelamat di Turkiye

“Kedua-dua pasukan kita telah berada di Gaziantep (ground zero) dan telah mulakan proses SAR disana. Antara cabaran yang dihadapi petugas kita adalah cuaca ekstrem dimana suhunya dibawah paras beku.

“Alhamdulilah, kita mendapat laporan harian petugas kita dalam semangat yang tinggi dan mereka juga bekerjasama rapat dengan agensi yang bertanggungjawab di peringkat negara Turkiye sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi lawatan kerjanya ke Loji Rawatan Air Kogopon di sini, hari ini.

Foto FB SMART – Pasukan SMART sudah memulakan usaha menyelamat di Turkiye

Dalam pada itu, Armizan turut ditanya pemberita sekiranya bantuan susulan (pasukan menyelamat) akan dihantar pihaknya ke Turkiye.

Menjawab soalan terbabit, beliau menjelaskan setakat ini pihaknya tidak mempunyai keperluan untuk menghantar pasukan menyelamat ke negara terbabit.

“Kita difahamkan setakat ini tidak ada keperluan, cukup dengan dua pasukan SAR ini kerana selain Malaysia yang merupakan antara negara terawal menghantar bantuan SAR, kini semakin banyak negara mula masuk dimana pasukan SAR mereka terlibat.

“Jadi, dari segi (bantuan) tambahan sumber manusia iaitu petugas, setakat ini tidak ada namun sekarang kita beralih kepada fasa seterusnya iaitu bantuan kemanusiaan lain.

“Antaranya semalam seperti yang kita ketahui, kita (kerajaan Persekutuan) menerusi Kementerian Pertahanan telah menghantar pasukan dan kelengkapan untuk hospital medan,” katanya.

Disamping itu, Armizan juga memaklumkan pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Kedutaan Turkiye di Kuala Lumpur bagi mengetahui lebih lanjut bentuk keperluan yang diperlukan mangsa gempa bumi dinegara itu ketika ini.

“Ini kerana kita tidak mahu menghantar barangan yang bukan keperluan mendesak disana. Selain itu, kita juga mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai.

“Sumbangan itu diselaraskan oleh Kementerian Luar melalui tabung khas yang diwujudkan. Jadi sesiapa yang ingin menyumbang, boleh menyumbang di tabung khas itu,” katanya.

Selain itu, beliau juga turut memberitahu mana-mana pihak yang ingin memberi sumbangan berbentuk barangan juga boleh demikian dengan memaklumkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Mengulas lanjut, katanya segala sumbangan diselaraskan oleh Kementerian Luar tetapi boleh maklumkan kepada NADMA sekiranya sumbangan itu berbentuk barangan.

“Boleh maklumkan apakah bentuk sumbangan dan kita akan semak dengan Kedutaan Turkiye sekiranya barangan yang disumbangkan itu bersesuaian.

“Sekiranya memerlukan nasihat pun pihak kita boleh menasihatkan apakah bentuk barangan yang boleh disumbangkan. Difahamkan keperluan sekarang ini adalah baju sejuk, selimut dan sebagainya.

“Ini kerana mangsa-mangsa yang sudah tidak mempunyai tempat tinggal ditempatkan disatu tempat.

“Cuaca cukup ekstrem jadi mereka memerlukan pakaian sejuk dan juga bantuan untuk para petugas juga,” katanya.

Loading...
Terkini