Oleh Aslina Abu Bakar
PETALING JAYA: Dua orang pemandu parah apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung di Jalan Iskandar menghala ke Kampung Bukit Kapar di Klang, Selangor pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor dalam kenyataan berkata seramai lima anggota serta pegawai bersama jentera dari Kapar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira jam 8.26 pagi.
Siasatan awal oleh pihak bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Accord dinaiki lima sekeluarga berumur 19 tahun hingga 59 tahun bertembung dengan sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina dinaiki dua lelaki berusia 20-an.
Kedua-dua mangsa patah kaki kanan.
Bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa daripada kenderaan masing-masing.
Empat lagi mangsa yang menaiki Honda Accord mengalami kecederaan ringan manakala penumpang Nissan Grand Livina tidak mengalami kecederaan.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan lanjut.