Tumpuan :
Nasional

Dua maut nahas lima kenderaan 

BANTING: Dua maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Banting-Dengkil dekat Sungai Manggis di sini, pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah seorang wanita berusia 40-an serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 7.03 pagi.

Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan Telok Panglima Garang bergegas ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan lima buah kenderaan yang mana sebuah lori melanggar empat kenderaan iaitu dua Honda City, sebuah Perodua Bezza serta sebuah lagi kenderaan yang tidak dapat dikesan.

“Lori berkenaan menghempap Perodua Bezza yang dinaiki tiga mangsa dan menyebabkan mereka tersepit.

“Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 8.45 pagi dan mengalami kecederaan di bahagian kaki.

“Dua lagi mangsa termasuk kanak-kanak perempuan pada jam 9.40 dan 9.45 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Banting.

Loading...
Terkini